Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Qatar siasat kematian pekerja Filipina di tapak latihan Piala Dunia

Anggaran Waktu Membaca:
Qatar siasat kematian pekerja Filipina di tapak latihan Piala Dunia

(Gambar: VALENTIN FLAURAUD / AFP)

Diterbitkan : 09 Dec 2022 10:02AM Dikemas Kini : 09 Dec 2022 10:03AM
DOHA: Qatar melancarkan siasatan keselamatan di tempat kerja berhubung kematian seorang pekerja hijrahan, menurut pegawai Qatar pada Khamis (9 Dis).

Ia menyusuli laporan bahawa seorang lelaki warga Filipina meninggal dunia di tapak latihan bola sepak Piala Dunia, yang diselubungi kontroversi mengenai layanan terhadap pekerja asing.

Nasser Al Khater, Ketua Eksekutif Piala Dunia 2022 di Doha, mengesahkan kepada Reuters bahawa seorang pekerja meninggal dunia, tanpa memberikan butiran terperinci dan menyatakan bahawa "kematian adalah lumrah kehidupan" sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Penerbitan sukan online, The Athletic melaporkan pada Rabu (7 Dis) bahawa seorang lelaki Filipina jatuh ketika membaiki lampu di sebuah tempat meletak kereta di Sealine Resort, tapak latihan pasukan kebangsaan Saudi.

Dia meninggal dunia selepas "tergelincir dari tanjakan semasa berjalan di sebelah kenderaan dan kepalanya terhentak pada konkrit dahulu selepas terjatuh".

Laporan itu, yang memetik beberapa sumber yang tidak dinamakan, menyatakan kemalangan itu berlaku semasa Piala Dunia namun tidak mendedahkan bila ia terjadi.

"Jika siasatan itu menyimpulkan bahawa protokol keselamatan tidak dipatuhi, syarikat itu akan dikenakan tindakan undang-undang dan penalti kewangan yang teruk," kata seorang pegawai kerajaan Qatar dalam kenyataan kepada Reuters.

"Kadar kemalangan di tempat kerja semakin merosot secara konsisten di Qatar sejak piawai keselamatan yang ketat diperkenalkan dan penguatkuasaan dipertingkatkan," kata pegawai itu.

Qatar mendapat perhatian kumpulan-kumpulan hak asasi manusia sejak dianugerahkan hak penganjuran Piala Dunia pada 2010 berhubung layanannya terhadap pekerja hijrahan yang merupakan sebahagian besar penduduk negara Teluk Arab itu.

Penganjur Piala Dunia Qatar, Jawatankuasa Tertinggi bagi Penyampaian dan Warisan menyatakan dalam satu kenyataan berkata bahawa ia tidak terlibat dalam siasatan Qatar itu kerana "mendiang bekerja sebagai kontraktor, bukan di bawah bidang kuasa SC".

Akhbar Britain, The Guardian melaporkan tahun lalu bahawa sekurang-kurangnya 6,500 pekerja asing - kebanyakan mereka bekerja dalam projek Piala Dunia - telah meninggal dunia di Qatar sejak ia memenangi hak untuk mengadakan acara itu, menurut pengiraan akhbar itu daripada rekod rasmi.

Sebagai tindak balas, Qatar menyatakan bahawa jumlah kematian adalah bersekadar dengan saiz tenaga kerja asing, termasuk ramai pekerja bukan manual, sambil menambah bahawa setiap nyawa yang hilang adalah tragedi.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan