Skip to main content

Dunia

Qatar masih komited sebagai pengantara rundingan gencatan senjata di Gaza

Anggaran Waktu Membaca:
Qatar masih komited sebagai pengantara rundingan gencatan senjata di Gaza

Seorang kanak-kanak lelaki berdiri di tengah-tengah runtuhan bangunan di Rafah pada 9 April 2024. (Gambar: AFP)

ISTANBUL: Qatar masih komited untuk menjadi orang tengah antara Hamas dengan Israel untuk mencapai satu gencatan senjata di Carikan Gaza, lapor Agensi Anadolu (AA).

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari berkata pada Selasa (23 Apr), Doha sedang menilai semula peranannya sebagai pengantara tetapi kecewa dengan kenyataan negatif baru-baru ini mengenai peranan Qatar sebagai orang tengah dalam rundingan berkenaan Gaza.

"Qatar komited untuk memainkan peranannya sebagai orang tengah antara Hamas dengan Israel. Kami amat kecewa dengan kenyataan sedemikian, terutamanya daripada pegawai Israel yang biasa dengan usaha perantaraan dan kerja-kerja kemanusiaan kami di Gaza.

"Masih awal untuk menyatakan pengunduran Qatar daripada peranan menjadi orang tengah," katanya dalam satu sidang media.

Encik Al-Ansari berkata, Qatar komited kepada peranan itu dan akan membuat keputusan dalam masa paling sesuai.

Beliau memuji sokongan Turki kepada Qatar selaku pengantara, menekankan Turki adalah satu daripada negara utama rantau ini yang menyokong usaha perantaraan di Gaza.

Mengenai kehadiran Hamas di Qatar, Encik al-Ansari berkata, selagi usaha perantaraan Qatar berterusan, tiada alasan wajar untuk menghentikan kehadiran biro politik Hamas di Doha.

Encik Al-Ansari mengulangi pembukaan pejabat Hamas adalah menerusi kerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) untuk perantaraan antara kedua-dua pihak.

"Setakat ini tiada perubahan dalam perkara itu," katanya.

Tentera Israel melancarkan serangan ke atas wilayah Palestin sejak 7 Oktober tahun lepas.

Hampir 34,200 warga Palestin terbunuh dan lebih daripada 77,000 lagi cedera selain daripada kemusnahan kediaman dan infrastruktur berskala besar dan kekurangan bekalan asas yang akut.

Serangan Israel yang kini memasuki hari ke-200 mengakibatkan 85 peratus penduduk Gaza hilang tempat tinggal selain menghadapi kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang akut.

Pada masa sama 60 peratus prasarana wilayah itu sama ada rosak ataupun musnah, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita