Qatar mahu Penguasa Palestin kembali tadbir Gaza
Qatar berharap Penguasa Palestin (PA) akan kembali memainkan peranan mentadbir Gaza, sebaik perang dengan Israel tamat.

Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani berkata hanya penduduk Gaza yang sewajarnya menentukan bagaimana wilayah itu ditadbir. (Gambar: Reuters)
Menurut Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, hanya penduduk Gaza yang sewajarnya menentukan bagaimana wilayah itu akan ditadbir.
Kenyataan itu dibuat di Sidang WEF di Davos.
"Kami berharap Penguasa Palestin (PA) kembali ke Gaza, dan kami berharap akan ada sebuah pemerintah yang benar-benar menangani isu-isu rakyat di sana.
"Banyak isu yang perlu diatasi, dan perjalanan untuk memulihkan Gaza masih panjang. Lihatlah apa yang telah kita saksikan dalam imej di media dan berita selama 15 bulan terakhir - ia tidak menggambarkan situasi sebenar di sana dengan adil.
"Sekarang, kita akan mula melihat bencana sebenar yang ditinggalkan," katanya.
Bagaimana Gaza akan ditadbir selepas perang tidak dibincangkan secara langsung dalam perjanjian antara Israel dan Hamas yang membawa kepada gencatan senjata segera dan pembebasan tebusan selepas hampir 15 bulan rundingan yang diusahakan oleh Qatar, Mesir, dan Amerika Syarikat.
Israel menolak sebarang peranan pemerintahan oleh Hamas, yang mentadbir Gaza sebelum perang.
Tetapi ia juga hampir sama menentang pemerintahan oleh Penguasa Palestin (PA), badan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Damai Oslo tiga dekad lalu dengan kuasa pemerintahan terhad di Tebing Barat.
Penguasa Palestin, yang didominasi oleh puak Fatah yang diasaskan oleh mantan pemimpin Palestin Yasser Arafat, menghadapi tentangan daripada puak pesaing Hamas, yang mengusir Penguasa Palestin dari Gaza pada tahun 2007 selepas perang saudara yang singkat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.