Skip to main content

Dunia

Qatar lancar jambatan udara bantu mangsa gempa Afghanistan

Anggaran Waktu Membaca:
Qatar lancar jambatan udara bantu mangsa gempa Afghanistan

Pesawat tentera udara Qatar yang bakal menggugurkan bekalan bantuan. (Gambar: Qatar MOFA/X)

Diterbitkan : 07 Sep 2025 11:10AM Dikemas Kini : 07 Sep 2025 11:11AM

ISTANBUL: Qatar pada Sabtu (6 Sep) mengumumkan pelancaran jambatan udara bagi menyalurkan bantuan ke Afghanistan susulan gempa bumi dahsyat, sehari selepas mengesahkan sembilan pesawat sudah tiba di Kabul.

Kementerian Luar Qatar dalam kenyataan di platform media sosial X menyatakan bahawa “Angkatan Tentera Qatar melancarkan jambatan udara bantuan kemanusiaan segera ke Afghanistan dengan kerjasama Kementerian Luar dan Pasukan Keselamatan Dalam Negeri.”

Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan dibuat “atas arahan Amir Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.”

Berdasarkan rakaman video yang dilampirkan, bantuan tersebut merangkumi hospital medan serta bantuan perubatan, makanan, tempat perlindungan dan operasi menyelamat selepas gempa bumi yang mengorbankan banyak nyawa di Afghanistan.

Video itu turut menyatakan bahawa Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa, Mariam bint Ali bin Nasser Al Misnad mengetuai misi berkenaan, menjadikannya menteri Qatar pertama yang tiba di Afghanistan dalam tugasan kemanusiaan.

Kementerian Luar pada Jumaat berkata “lima pesawat Angkatan Udara Amiri Qatar yang membawa bantuan kemanusiaan daripada Dana Pembangunan Qatar sudah pun tiba di ibu negara Afghanistan, Kabul.

"Bantuan itu adalah sebahagian daripada operasi penghantaran udara oleh Qatar untuk membantu meringankan penderitaan rakyat Afghanistan berikutan gempa bumi yang melanda timur Afghanistan. 

"Dengan ini jumlah pesawat yang dihantar meningkat kepada sembilan.”

Gempa bumi pada Ahad lalu (31 Ogos) itu mengorbankan lebih 2,200 orang dan mencederakan 4,000 yang lain, menyebabkan kemusnahan besar di wilayah timur Kunar.

Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita