Qatar kecam serangan peluru berpandu Iran ke atas pangkalan udara Amerika
Qatar pada Isnin (23 Apr) mengecam keras tindakan Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Pangkalan Tentera Udara Al Udeid yang terletak di wilayahnya, sambil menyifatkan serangan itu sebagai satu pencabulan nyata terhadap kedaulatan dan ruang udaranya.
Serpihan kelihatan di udara selepas tentera Iran menyatakan mereka menyerang Pangkalan Udara Al-Udeid seperti dilihat dari Doha, Qatar pada 23 Jun 2025. (Gambar: Reuters)
Menurut laporan agensi berita Anadolu, Kementerian Luar Qatar menerusi jurucakapnya, Majed Al Ansari, menyatakan, negara itu berhak untuk bertindak balas secara wajar mengikut lunas undang-undang antarabangsa.
“Qatar mengecam sekeras-kerasnya serangan yang dilakukan oleh Pengawal Revolusi Iran ke atas Pangkalan Tentera Udara Al Udeid,” kata Encik Al Ansari dalam kenyataan yang dimuat naik ke platform X.
“Tindakan ini adalah satu pencabulan terang-terangan terhadap kedaulatan Qatar, ruang udaranya, undang-undang antarabangsa serta Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” tegasnya.
Serangan Iran itu dipercayai sebagai tindak balas terhadap serangan udara Amerika Syarikat ke atas beberapa tapak nuklear Iran pada hujung minggu lalu.
Menurut Encik Al Ansari, sistem pertahanan udara Qatar berjaya memintas peluru berpandu yang dilancarkan, dan menambah bahawa pihak berkuasa telah menjalankan langkah berjaga-jaga dengan mengosongkan kawasan pangkalan lebih awal menyusuli ketegangan yang semakin memuncak di rantau tersebut.
Beliau turut menjelaskan bahawa semua langkah keselamatan sudah diambil bagi melindungi para anggota yang bertugas di kemudahan tersebut, termasuk tentera Qatar, pasukan bersekutu dan lain-lain anggota yang ditempatkan di sana.
Encik Al Ansari turut mengesahkan bahawa tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat kini berada di tahap kritikal dengan risiko konflik lebih besar di rantau Timur Tengah jika tidak ditangani secara diplomatik dan berhati-hati oleh semua pihak terbabit.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.