Qatar cuba sambung semula rundingan gencatan senjata Gaza, capai perjanjian program nuklear Iran
Rakyat Palestin berkumpul untuk menerima bekalan bantuan di Beit Lahia, di utara Carikan Gaza, pada 16 Jun 2025. (Gambar: REUTERS/Dawoud Abu Alkas)
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majid al-Ansari turut memaklumkan bahawa Doha sedang berusaha untuk mencapai perjanjian lebih menyeluruh berhubung program nuklear Iran.
“Tiada rundingan mengenai gencatan senjata di Carikan Gaza ketika ini,” kata Encik Majid al-Ansari semasa sidang media di Doha.
“Bagaimanapun, komunikasi sedang dijalankan bagi merumuskan formula untuk kembali ke meja rundingan,” katanya tanpa mengulas lanjut.
"Kami melihat isyarat positif dari Washington untuk mencapai perjanjian di Gaza, dan terdapat niat serius mereka untuk mendorong ke arah usaha menyambung semula rundingan mengenai Gaza, tetapi masih terdapat komplikasi,” katanya.
Pada Ahad (29 Jun), Menteri Luar Mesir Badr Abdelatty memaklumkan bahawa Kaherah sedang merangka perjanjian baharu Gaza yang merangkumi gencatan senjata selama 60 hari sebagai pertukaran untuk pembebasan beberapa tebusan Israel serta kemasukan segera bantuan kemanusiaan ke wilayah yang dikepung itu.
Qatar “terus mendesak melalui rakan-rakan kami untuk memisahkan rundingan daripada isu kemasukan bantuan ke Gaza,” kata Encik Majid al-Ansari.
“Kedegilan Israel menghalang kemasukan bantuan ke Gaza. Ia tidak boleh diterima untuk terus mengaitkan isu kemanusiaan dengan ketenteraan di Gaza.”
Pada 19 Januari, Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat menjadi pengantara perjanjian gencatan senjata tiga fasa antara Israel dan Hamas, dengan matlamat untuk menamatkan perang Israel di Gaza.
Bagaimanapun, perjanjian itu terjejas selepas Israel menyambung semula serangan ke atas wilayah berkenaan pada 18 Mac.
Walaupun terdapat gesaan antarabangsa untuk gencatan senjata, tentera Israel telah membunuh lebih 56,500 rakyat Palestin dalam serangan berterusan di Carikan Gaza sejak Oktober 2023.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan mantan Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung perang ke atas wilayah itu.
Jurucakap Qatar berkata Doha sedang giat berusaha untuk mencapai perjanjian lebih menyeluruh mengenai program nuklear Iran.
“Usaha untuk mencapai perjanjian lebih luas mengenai program nuklear Iran masih diteruskan,” kata Encik Majid al-Ansari tanpa memberikan butiran lanjut.
Konflik antara Israel dan Iran tercetus pada 13 Jun apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas tapak ketenteraan, nuklear dan awam Iran, mengakibatkan sekurang-kurangnya 935 orang maut dan 5,332 lagi cedera, menurut pihak berkuasa Iran.
Amerika Syarikat turut menyerang kemudahan nuklear Iran di Fordow, Natanz dan Isfahan, sekali gus meningkatkan ketegangan konflik itu.
Konflik itu terhenti selepas gencatan senjata usulan Amerika berkuat kuasa pada 24 Jun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.