Skip to main content

Dunia

Qatar Airways meterai perjanjian bagi sehingga 210 jet Boeing semasa lawatan Trump

Anggaran Waktu Membaca:
Qatar Airways meterai perjanjian bagi sehingga 210 jet Boeing semasa lawatan Trump

Presiden Donald Trump dan Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani semasa menghadiri jamuan makan malam negara di Istana Lusail, di Doha, Qatar pada 14 Mei 2025. (Gambar: AP/Alex Brandon)

Diterbitkan : 15 May 2025 07:48AM Dikemas Kini : 15 May 2025 08:03AM
DOHA: Syarikat penerbangan Qatar Airways menandatangani perjanjian pada Rabu (14 Mei) untuk membeli sehingga 210 pesawat daripada Boeing semasa lawatan Presiden Donald Trump ke negara Teluk Arab itu, iaitu satu kejayaan besar bagi syarikat pembuat pesawat Amerika Syarikat tersebut.

Perjanjian untuk pesawat Boeing 777X dan 787 dengan enjin GE Aerospace itu bernilai AS$96 bilion (S$124.9 bilion), menurut Rumah Putih.

Ia merupakan kemenangan bagi Encik Trump dalam lawatan berprofil tinggi ke rantau tersebut, meskipun pesawat-pesawat itu hanya akan dihantar dalam beberapa tahun akan datang.

Perjanjian ini juga merupakan satu lonjakan jualan untuk Boeing dan pembekal enjin terbesarnya buat masa ini, ketika versi besar pesaingnya, Airbus A350, yang dikuasakan oleh enjin Rolls-Royce, menghadapi masalah penyenggaraan kerana beroperasi dalam iklim paling panas di dunia, termasuk di rantau Teluk.

Perjanjian itu merangkumi 160 pesanan — 130 pesawat 787 dan 30 pesawat 777X — serta pilihan untuk 50 lagi pesawat jarak jauh, menurut Boeing.

Saham syarikat itu meningkat sebanyak 0.6 peratus di New York, manakala saham GE Aerospace naik 0.7 peratus.

Bagi pesawat jenis 787, Qatar memilih enjin GEnx daripada GE Aerospace berbanding enjin Trent 1000 daripada Rolls-Royce, menurut pentadbiran tersebut.

Enjin GE9X dari GE Aerospace adalah satu-satunya pilihan untuk pesawat 777X.

Perjanjian untuk 400 enjin GE adalah yang terbesar pernah dicapai oleh GE Aerospace, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu, Larry Culp, dalam kenyataannya.

Qatar Airways memberitahu Reuters pada bulan Mac bahawa mereka sedang merancang satu pesanan besar bagi pesawatnya.

Encik Trump dan Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, menyertai majlis menandatangani perjanjian bersama CEO Boeing, Kelly Ortberg, dan CEO Qatar Airways, Badr Mohammed Al-Meer.

Encik Trump berkata Encik Ortberg memberitahunya bahawa ini adalah pesanan pesawat terbesar dalam sejarah Boeing.

Perjanjian ini ditandatangani semasa perhentian kedua Encik Trump dalam lawatan ke negara-negara Teluk selepas beliau memeterai beberapa perjanjian dengan Arab Saudi pada Selasa.

Pesawat 777X masih dalam dibangunkan dan dijangka memulakan penghantaran pada tahun 2026, enam tahun lewat dari jadual asal.

Qatar Airways telah pun membuat pesanan untuk 94 buah 777X. Pesaingnya, Emirates, pula membuat pesanan untuk 205 buah 777X. Kedua-dua syarikat penerbangan ini adalah antara pelanggan pertama apabila Boeing melancarkan program itu pada 2013.

Buku pesanan Boeing mengandungi 521 pesanan untuk 777X dan 828 pesanan bagi pesawat jenis 787 setakat 30 April, menurut syarikat itu.
 
Sumber : Agensi berita/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita