Skip to main content

Dunia

Qantas timbang wajibkan penumpang antarabangsa dapatkan suntikan vaksin sebelum naik pesawat

 Para penumpang antarabangsa perlu diberi vaksin COVID-19 untuk melakukan penerbangan menaiki pesawat Qantas, kata Ketua Pegawai Eksekutif Qantas, Alan Joyce.

Anggaran Waktu Membaca:
Qantas timbang wajibkan penumpang antarabangsa dapatkan suntikan vaksin sebelum naik pesawat

Gambar: DANIEL MUNOZ/REUTERS

Diterbitkan : 24 Nov 2020 03:24PM Dikemas Kini : 24 Nov 2020 03:26PM

SYDNEY: Para penumpang antarabangsa perlu diberi vaksin COVID-19 untuk melakukan penerbangan menaiki pesawat Qantas, kata Ketua Pegawai Eksekutif Qantas, Alan Joyce.

Menurut Encik Joyce, ia mungkin akan menjadi satu kebiasaan dalam industri penerbangan.

Beliau selanjutnya berkata bahawa Qantas akan melaksanakan langkah tersebut sebaik saja vaksin COVID-19 disediakan untuk orang ramai.

"Kami sedang menimbangkan untuk mengubah terma dan syarat bagi para penumpang antarabangsa dan kami akan meminta para penumpang untuk mendapatkan suntikan vaksin sebelum mereka boleh menaiki pesawat," dedah beliau kepada Channel Nine.

"Sama ada ia diperlukan untuk penerbangan domestik, kita perlu memantau keadaan semasa COVID-19, tetapi pastinya, bagi penumpang antarabangsa ke Australia dan yang meninggalkan negara ini, ia akan menjadi satu keperluan," katanya lagi.

Encik Joyce turut meramalkan bahawa peraturan itu mungkin akan menjadi satu amalan standard dalam kalangan syarikat penerbangan seluruh dunia, dengan pemerintah dan syarikat penerbangan sedang menimbangkan untuk memperkenalkan pasport vaksinasi elektronik.

Sempadan antarabangsa Australia ditutup sejak Mac lalu bagi membendung penularan COVID-19, yang sejauh ini sudah meragut lebih sejuta nyawa di seluruh dunia.

Australia turut menghadkan jumlah rakyatnya yang dibenarkan pulang ke negara itu setiap minggu, menyebabkan berpuluh-puluh ribu rakyatnya terkandas di luar negara.

Qantas sudah menggantung lebih 200 pesawat dan memberhentikan 8,500 kakitangan sedang ia cuba mengimbangi kerugian bernilai lebih AS$1.9 bilion (S$1.87 bilion) selepas permintaan bagi perjalanan udara merosot dengan ketara.

Perdana Menteri Scott Morrison berkata, Australia merancang untuk mewujudkan aturan perjalanan udara khas dengan negara-negara lain yang berhasil membendung penularan virus tersebut.

Negara itu bagaimanapun tidak mungkin akan membuka semula sepenuhnya sempadan negara itu kepada para pelawat antarabangsa selagi vaksin COVID-19 belum disediakan untuk orang ramai.

Australia adalah antara negara yang disifatkan sebagai berjaya membendung COVID-19, melaporkan hanya 27,800 kes dan 907 kematian sejak pandemik itu mula melanda negara tersebut.

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita