Skip to main content

Dunia

Qantas sahkan data peribadi lebih 1 juta pelanggan terjejas susuli pelanggaran siber

Syarikat penerbangan Australia, Qantas Airways, menyatakan pada Rabu (9 Jul) lebih sejuta pelanggan terjejas apabila nombor telefon, tarikh lahir atau alamat rumah mereka diakses dalam salah satu kejadian pelanggaran siber terbesar di negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Qantas sahkan data peribadi lebih 1 juta pelanggan terjejas susuli pelanggaran siber

Pesawat Qantas Airways di terminal domestik di lapangan terbang Sydney, Australia, pada 1 Julai 2017. (Gambar fail: REUTERS/David Gray)

AUSTRALIA: Syarikat penerbangan Australia, Qantas Airways, menyatakan pada Rabu (9 Jul) lebih sejuta pelanggan terjejas apabila nombor telefon, tarikh lahir atau alamat rumah mereka diakses dalam salah satu kejadian pelanggaran siber terbesar di negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pengendali syarikat penerbangan tersebut turut menyatakan bahawa empat juta pelanggan lain turut terjejas, dengan nama dan alamat emel mereka diperoleh semasa penggodaman itu.

Selepas mendedahkan satu kejadian serangan siber minggu lalu, Qantas menyatakan pada Rabu bahawa pangkalan data yang diceroboh mengandungi maklumat peribadi unik milik 5.7 juta pelanggan, selepas menyingkirkan rekod berulang daripada enam juta rekod yang terjejas pada awalnya.

Tiada bukti yang menunjukkan bahawa data peribadi pelanggan sudah dibocorkan, dan syarikat tersebut sedang memantau keadaan secara aktif, menurut kenyataan Qantas.

“Sejak kejadian itu berlaku, kami telah melaksanakan beberapa langkah keselamatan siber tambahan untuk melindungi data pelanggan kami, dan kami terus menyemak apa yang telah berlaku,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Qantas Group, Vanessa Hudson.

Pelanggaran tersebut merupakan serangan siber paling berprofil tinggi di Australia sejak syarikat telekomunikasi gergasi Optus dan syarikat insurans kesihatan Medibank menjadi sasaran pada 2022, kejadian yang mendorong pelaksanaan undang-undang ketahanan siber mandatori.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita