Qantas lantik CEO wanita pertama dalam 103 tahun
(Gambar: William West/AFP)
SYDNEY: Syarikat penerbangan Qantas mengumumkan Vanessa Hudson dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), sekali gus menjadikan beliau wanita pertama yang dilantik untuk memegang jawatan itu dalam sejarah 103 tahun syarikat tersebut.
Demikian menurut agensi berita Jerman, dpa.
Menurut Qantas, Cik Hudson yang sudah berkhidmat di syarikat berkenaan selama 28 tahun akan secara rasmi mengambil alih jawatan itu selepas Mesyuarat Agung Tahunan 2023 pada November.
"Ini satu penghormatan besar untuk menerajui sebuah syarikat yang luar biasa,” katanya.
Beliau akan menggantikan Alan Joyce yang akan bersara.
Pengerusi Qantas, Richard Goyder, turut merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada Encik Joyce.
"Beliau telah banyak memberikan sumbangan besar kepada Qantas," kata Encik Goyder.
Encik Joyce turut memuji langkah Qantas kerana mencipta sejarah dengan melantik ketua eksekutif wanita yang pertama.
"Saya sangat gembira kerana dalam 103 tahun sejarah Qantas, hanya terdapat 12 CEO. Ini adalah CEO wanita pertama dalam tempoh itu dan itu adalah penghargaan kepada keupayaan wanita yang ada dalam pasukan pengurusan kami,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.