Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Puting beliung ranap 8 rumah di Alor Setar

 Sebanyak lapan buah rumah mengalami kerosakan teruk termasuk bumbung diterbangkan angin dalam kejadian puting beliung di Kampung Padang, Mukim Tajar, Sabtu petang (16 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Puting beliung ranap 8 rumah di Alor Setar

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 17 Nov 2019 02:55PM Dikemas Kini : 17 Nov 2019 02:59PM

ALOR SETAR: Sebanyak lapan buah rumah mengalami kerosakan teruk termasuk bumbung diterbangkan angin dalam kejadian puting beliung di Kampung Padang, Mukim Tajar, Sabtu petang (16 Nov).

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten Md Zain Baharom berkata kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.30 petang itu menyebabkan lapan keluarga dengan 54 mangsa terjejas.

Beliau berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kejadian itu pada pukul 6.30 petang dan bergegas ke lokasi bagi memberikan bantuan.

"Pagi ini pula kita ke lokasi bertemu penghulu mukim Tajar untuk membincangkan keperluan gotong-royong dan membantu penduduk yang terjejas kerana kebanyakan rumah musnah teruk.

"Alhamdulillah setakat ini kita dilaporkan tiada penduduk yang mengalami kecederaan dalam kejadian itu," katanya kepada Bernama, hari ini.

Sementara itu, penduduk terlibat, Encik Zulkisfali Salleh, 60 tahun, yang menceritakan kejadian itu berkata beliau bersama isteri dan lima ahli keluarganya yang lain terpaksa keluar berlindung di luar rumah bagi mengelak ditimpa kayu dan bumbung.

Katanya, kejadian angin berputar itu berlaku hanya dalam tempoh seminit dan menerbangkan keseluruhan bumbung rumahnya.

"Masa itu cuaca mendung dan kami sedang berehat sementara menunggu waktu asar...tiba-tiba bunyi dentuman kuat disertai deruan angin dari arah tepi rumah dan dengan sekelip mata bumbung rumah tercabut dan diterbangkan angin," katanya yang menganggarkan mengalami kerugian hampir RM8,000 (S$2,600) disebabkan kejadian itu.

Encik Ahmad Basir Harun, 49 tahun, pula berkata ketika kejadian beliau ke rumah kenduri di Kuala Kedah dan dimaklumkan anaknya, Siti Nur Faizah, 16 tahun, mengenai kejadian itu yang turut nyaris menghempap anaknya.

"Saya bersyukur Nur Faizah cepat keluar dari rumah, kalau tidak beliau mungkin dihempap batu bata dan kayu siling yang roboh selepas bumbung rumah diterbangkan angin, walaupun kerosakan dianggarkan lebih RM10,000 (S$3,300), saya bersyukur beliau selamat," katanya.

Tinjauan Bernama ke lokasi kejadian mendapati, kebanyakan zink berselerak di sekitar bendang dan ada yang tersangkut di atas pokok kelapa yang terletak sejauh kira-kira 50 meter dari rumah penduduk.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan