Skip to main content

Dunia

Putin tuduh negara Eropah sabotaj usaha damai perang Ukraine

Presiden Rusia Vladimir Putin pada Selasa (2 Dis) menuduh negara-negara Eropah dalam kalangan sekutu Ukraine cuba mensabotaj usaha yang diterajui oleh Amerika Syarikat untuk menamatkan perang, yang semakin meraih momentum dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Anggaran Waktu Membaca:
Putin tuduh negara Eropah sabotaj usaha damai perang Ukraine
Presiden Rusia Vladimir Putin bercakap dengan wartawan di Mosko, Rusia, pada 2 Disember 2025. (Gambar: REUTERS/Sergei Ilnitsky)
MOSKO: Presiden Rusia Vladimir Putin pada Selasa (2 Dis) menuduh negara-negara Eropah dalam kalangan sekutu Ukraine cuba mensabotaj usaha yang diterajui oleh Amerika Syarikat untuk menamatkan perang, yang semakin meraih momentum dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

"Mereka tidak mempunyai sebarang agenda damai, mereka menyokong peperangan," kata Encik Putin selepas berucap di sebuah forum pelaburan dan sebelum mengadakan perbincangan dengan sebuah delegasi Amerika Syarikat yang dipimpin oleh utusan khas Steve Witkoff dan menantu Presiden Donald Trump, Jared Kushner di Kremlin.

Pemimpin Rusia itu juga menuduh Eropah meminda usulan damai dengan "tuntutan yang sama sekali tidak boleh diterima oleh Rusia", sekali gus "menghalang keseluruhan proses damai" sebelum menyalahkan Rusia atas kegagalan itu.

"Itulah matlamat mereka," kata Encik Putin.

Komennya itu selaras dengan naratif yang didorong oleh Rusia selepas Encik Trump kembali ke Rumah Putih pada tahun ini dan memulakan rundingan bersama Mosko, sambil memberikan gambaran sokongan tegar negara-negara Eropah terhadap Ukraine sebagai salah satu halangan utama dalam usaha mencapai perdamaian.

Encik Putin berkata Rusia tidak mahu berperang dengan kuasa-kuasa Eropah, namun bersedia untuk bertempur sekiranya Eropah benar-benar mahukan konflik secara langsung dengan Mosko.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita