Putin, Trump akan bincang potensi kerjasama ekonomi baharu, perang Ukraine
Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump akan membincangkan "potensi besar yang belum dicungkil" dalam hubungan ekonomi Rusia-Amerika Syarikat serta kemungkinan menamatkan perang di Ukraine dalam pertemuan mereka di Alaska pada Jumaat (15 Ogos), kata penasihat Kremlin Yuri Ushakov.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin di Istana Presiden di Helsinki, Finland pada 16 Julai 2018. (Gambar fail: AP/Pablo Martinez Monsivais)
Encik Yushakov memberitahu wartawan bahawa sidang puncak itu akan bermula pada pukul 7.30 malam waktu tempatan, dengan kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan secara bertemu muka, dengan disertai para jurubahasa.
Menurutnya, wakil dari kedua-dua negara akan mengadakan pertemuan dan makan tengah hari bersama-sama dan kedua-dua presiden akan mengadakan sidang media bersama kemudian.
Pada minggu lalu, Encik Trump dan Encik Putin bersetuju untuk mengadakan mesyuarat itu - iaitu sidang puncak pertama antara kedua-dua negara sejak Encik Putin bertemu dengan Presiden Joe Biden pada Jun 2021 - sedang Presiden Amerika berusaha menamatkan perang di Ukraine.
Encik Ushakov berkata "ia jelas kepada semua orang" bahawa Ukraine akan menjadi tumpuan mesyuarat itu, tetapi isu-isu keselamatan dan antarabangsa yang lebih luas juga akan dibincangkan.
Beliau menambah: "Pertukaran pendapat dapat dijangkakan tentang bagaimana untuk meningkatkan kerjasama dua hala, termasuk dalam bidang perdagangan dan ekonomi.
"Saya ingin menarik perhatian bahawa kerjasama ini mempunyai potensi yang besar dan malangnya sehingga kini ia belum diterokai."
Encik Ushakov, yang merupakan penasihat dasar asing Presiden Putin berkata beberapa anggota lain dari delegasi Rusia adalah Menteri Luar Sergei Lavrov, Menteri Pertahanan Andrei Belousov, Menteri Kewangan Anton Siluanov dan Kirill Dmitriev, utusan khas bagi pelaburan dan kerjasama ekonomi Putin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.