Putin tidak ubah pendirian berhubung Ukraine meski hadapi tarikh akhir Trump
Presiden Rusia Vladimir Putin berkata pada Jumaat (1 Ogos) bahawa Mosko berharap rundingan damai dengan Ukraine dapat diteruskan, namun menegaskan bahawa momentum perang kini memihak kepada Rusia, sekali gus menunjukkan tiada perubahan dalam pendiriannya meskipun Washington menetapkan tarikh akhir sekatan yang semakin hampir.
Presiden Rusia Vladimir Putin berucap di Kremlin, Mosko pada 31 Julai 2025. (Gambar: AFP/POOL/Evgenia Novozhenina)
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sebelum ini menyatakan bahawa beliau akan mengenakan sekatan baharu ke atas Mosko dan negara-negara yang membeli eksport tenaga Rusia, terutamanya China dan India, sekiranya Rusia tidak mengambil langkah untuk menamatkan perang yang sudah berlarutan selama tiga setengah tahun itu menjelang 8 Ogos.
Beliau semakin lantang mengkritik Encik Putin, menuduhnya melakukan "perkara mengarut" dan menyifatkan serangan terkini Rusia ke atas Ukraine sebagai "menjijikkan".
Encik Putin, tanpa merujuk secara langsung kepada tarikh akhir yang ditetapkan Encik Trump, berkata tiga sesi rundingan damai dengan Ukraine menghasilkan beberapa kemajuan, dan Rusia menjangkakan rundingan itu akan diteruskan.
“Jika ada pihak yang kecewa, ia biasanya berpunca daripada harapan yang terlalu tinggi. Ini adalah satu prinsip umum yang diketahui ramai,” kata beliau.
“Tetapi untuk mendekati perkara ini secara aman, perbincangan terperinci perlu diadakan. Dan bukan secara terbuka, sebaliknya perlu dilakukan secara tenang, dalam suasana rundingan yang tertutup.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.