Skip to main content

Dunia

Putin kecam sekatan Barat jelang sidang puncak bersama Trump, Xi Jinping

Presiden Rusia Vladimir Putin pada Rabu (18 Nov) menyifatkan sekatan Barat terhadap negaranya sebagai satu kegagalan.

Anggaran Waktu Membaca:
Putin kecam sekatan Barat jelang sidang puncak bersama Trump, Xi Jinping

Presiden Rusia Vladimir Putin berucap di Sidang Puncak CEO Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2026 di Shenzhen, China, pada 18 November 2026. (Gambar: REUTERS/Edgar Su)

Diterbitkan : 18 Nov 2026 07:56PM
Putin condemns Western sanctions ahead of summit with Trump and Xi Jinping
  • Vladimir Putin met Xi Jinping in Shenzhen on Wednesday, Nov 18, ahead of a trilateral summit with Donald Trump on Thursday; they are expected to discuss energy, finance and foreign policy.
  • Putin described Western sanctions imposed after Russia’s 2022 attack on Ukraine as a failure, while Xi called for closer ties. Mark Carney said sanctions would be stepped up as long as the war continues.
  • Ukraine, the Iran war and nuclear disarmament may be discussed, although Washington’s position on Ukraine has shifted. The US-Russia nuclear treaty expires in February, while China wants major powers to reduce their stockpiles first.
  • Regional discussions are also being overshadowed by tariffs and trade competition. Washington has imposed special licences for shipments of advanced AI chips to Singapore, Malaysia, Thailand and Indonesia, while Singapore is looking for ways to ensure its companies have access.
Dijana oleh AI

SHENZHEN: Presiden Rusia Vladimir Putin pada Rabu (18 Nov) menyifatkan sekatan Barat terhadap negaranya sebagai satu kegagalan. Beliau turut bertemu Presiden China Xi Jinping menjelang sidang puncak bersejarah bersama Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Pertemuan tiga hala pada Khamis itu mencetuskan kebimbangan bahawa ketiga-tiga pemimpin kuasa besar tersebut mungkin membuat keputusan mengenai masa depan Ukraine tanpa melibatkan Kyiv dan Eropah, selain cuba membahagikan dunia kepada lingkungan pengaruh masing-masing pada abad ke-21.

Washington sebelum ini memberi bayangan bahawa isu Ukraine, yang ditegaskan Encik Xi bukan masalah China, tidak dijangka untuk dibincangkan. Bagaimanapun, Encik Trump kemudiannya menyatakan bahawa isu tersebut akan dibangkitkan.

Encik Putin, yang bertemu dengan Encik Xi di Shenzhen, China, pada Rabu, tetap bertegas dengan pendiriannya mengenai perang di Ukraine menjelang sidang puncak tiga hala tersebut. Beliau turut mengecam sekatan Barat yang dikenakan menyusuli pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 2022.

"Kita dapat melihat contoh sedemikian menerusi usaha yang gagal untuk mengasingkan negara kami, Rusia, yang berdepan tekanan sekatan yang belum pernah berlaku sebelum ini," kata Encik Putin.

Selepas bertemu dengan pemimpin Rusia itu, Encik Xi menggesa hubungan lebih erat dengan Mosko. Beliau berkata kedua-dua negara perlu "memanfaatkan mekanisme pertukaran antara pemerintah, badan perundangan, angkatan tentera dan parti politik kedua-dua negara".

Perdana Menteri Canada Mark Carney, yang turut berada di Shenzhen, berkata sekatan terhadap Rusia "akan terus dipertingkatkan selagi perang (Ukraine) ini berlarutan".

Menurut Washington, perang di Iran dan pelucutan senjata nuklear turut menjadi antara perkara yang akan dibincangkan dalam pertemuan tiga hala pada Khamis.

Perjanjian dua hala Amerika Syarikat-Rusia mengenai senjata nuklear tamat tempoh pada Februari.

Beijing sejak sekian lama berpendirian bahawa Amerika Syarikat dan Rusia perlu mengurangkan simpanan senjata nuklearnya yang jauh lebih besar sebelum China bersetuju untuk mengadakan rundingan mengenai simpanan senjata nuklearnya yang lebih kecil. 

KEMBALI DITERIMA

Pertemuan Encik Xi dan Encik Putin pada Rabu, di luar mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), merupakan pertemuan kelima mereka pada 2026, termasuk satu pertemuan menerusi pautan video.

Menurut para pegawai Rusia, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan isu tenaga dan kewangan, sebelum mengadakan perbincangan dalam kumpulan lebih kecil mengenai dasar luar, termasuk isu Ukraine dan Korea Utara.

Awal dari itu, Encik Xi menggesa kerjasama antarabangsa yang lebih erat dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan perdagangan bebas.

"Bermula dengan menurunkan tarif, meluaskan akses serta meneroka peraturan dan piawaian pengurusan, China akan melaksanakan pembaharuan secara menyeluruh," kata Encik Xi ketika merasmikan acara tersebut.

Encik Putin dipulaukan negara-negara Barat sejak melancarkan serangan terhadap Ukraine pada 2022, yang mencetuskan konflik terburuk di Eropah sejak Perang Dunia II.

Ketika berucap di perhimpunan APEC pada Rabu, Encik Putin berkata beliau menjangkakan sidang puncak tiga hala itu akan membawa "manfaat besar".

"Ketika risiko ketenteraan dan politik semakin meningkat, apa yang amat diperlukan ialah perpaduan, bukannya perpecahan ... dan dialog, bukannya kata putus," kata Encik Putin.

KIM BAKAL HADIR?

Encik Trump tiba di China pada Rabu selepas berlepas dari Filipina, di mana beliau bertemu dengan para pemimpin negara anggota kumpulan Quad, iaitu Australia, Jepun dan India, sehari sebelumnya buat kali pertama dalam penggal kedua pentadbirannya.

Kumpulan tersebut secara umumnya bertujuan mengimbangi pengaruh China di rantau tersebut.

Encik Trump berkata beliau sedang mempertimbangkan pertemuan secara berasingan dengan Encik Putin dan Kim Jong Un di Shenzhen, sambil menyatakan bahawa pemimpin Korea Utara itu "berminat" untuk bertemu di China.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio pada Rabu bagaimanapun tidak mengesahkan sama ada pertemuan dengan Encik Kim itu akan berlangsung.

"Jika kita mempunyai masalah dengan Korea Utara, satu-satunya cara untuk menyelesaikannya adalah dengan mendekati mereka," kata Encik Rubio di Manila.

Encik Trump berada di Filipina untuk menghadiri sidang puncak Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang dianggotai 11 negara.

Lawatan beliau menyaksikan kira-kira 2,000 orang mengadakan tunjuk perasaan sambil membawa sepanduk dengan tulisan "Trump out now (Keluar sekarang Trump)" dan "Reject Pax Silica (Katakan tidak kepada Pax Sillica)", merujuk kepada satu inisiatif rantaian bekalan Amerika Syarikat.

TARIF, CIP DAN UNSUR NADIR BUMI

Sedang para pemimpin Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) menangani pelbagai isu serantau, kebimbangan terhadap langkah Encik Trump yang terus mengenakan tarif perdagangan turut membayangi perbincangan mereka.

Perdana Menteri China Li Qiang pada Isnin mengecam apa yang disifatkannya sebagai "arus yang bertentangan, iaitu pendekatan sehala dan perlindungan perdagangan", sambil mengetengahkan hubungan perdagangan Beijing yang semakin berkembang dengan ASEAN.

Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Perdana Menteri Canada Mark Carney turut menyuarakan pandangan serupa mengenai perdagangan. Kedua-duanya secara jelas menekankan keperluan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pasaran Amerika Syarikat.

Pada Selasa, Encik Trump terus menunjukkan pendirian tegas dalam perang perdagangannya dengan Beijing, dengan menyatakan bahawa Amerika Syarikat akan dapat mengejar China dalam pengeluaran unsur nadir bumi "dalam tempoh 10 bulan".

Beberapa jam sebelum Encik Trump tiba di Manila, Washington mengumumkan peraturan baharu mengenai pemindahan cip AI canggih, satu langkah yang berpotensi menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Syarikat yang menghantar cip berteknologi tinggi ke Singapura, Malaysia, Thailand dan Indonesia kini perlu mendapatkan lesen khas, memandangkan negara-negara tersebut dikatakan mempunyai "risiko lebih tinggi daripada biasa" bagi cip tersebut dialihkan kepada pihak lain.

Singapura memberi maklum balas dengan menyatakan bahawa pihaknya kini sedang meneroka cara untuk memudahkan "akses yang dipercayai" bagi syarikat-syarikat yang berpangkalan di negara tersebut.

Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita