Putin kecam pembunuhan 'sinis' pemimpin ulung Iran
Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei bertemu dengan Presiden Rusia Vladimir Putih di Tehran, Iran pada 19 Julai 2022. (Gambar: Pejabat Pemimpin Agung Iran/WANA via Reuters)
Ayatollah Ali Khamenei merupakan sekutu ketiga Rusia yang digulingkan dalam tempoh 15 bulan yang lalu, menyusuli kejatuhan pemimpin disokong Mosko di Syria dan Venezuela.
Kematiannya itu menyebabkan Kremlin berdepan halangan strategik di rantau itu, di mana ia berusaha meningkatkan pengaruhnya.
Rusia menyatakan serangan Amerika Syarikat dan Israel pada hujung minggu itu mengheret seluruh Timur Tengah ke dalam jurang kemusnahan, walaupun beberapa sumber Iran berkata mereka tidak mendapat bantuan sebenar dari Mosko dalam krisis terbesar bagi Iran sejak kepimpinan Shah digulingkan dalam revolusi Iran pada 1979.
Encik Putin mengutuskan takziah kepada keluarga Khamenei, pemerintah Iran dan rakyat Iran dalam surat yang diutuskan kepada Presiden Masoud Pezeshkian, menurut Kremlin.
"Sila terima ucapan takziah yang mendalam berhubung dengan pembunuhan pemimpin ulung Republik Islam Iran, Seyed Ali Khamenei, dan ahli keluarganya, yang dilakukan secara sinis melanggar semua norma moral manusia dan undang-undang antarabangsa,” kata Encik Putin dalam nota itu.
KEJATUHAN SATU LAGI SEKUTU RUSIA
Dengan sekutu-sekutu Rusia digulingkan di Syria dan Venezuela, kejatuhan Khamenei menimbulkan cabaran bagi Mosko, walaupun Kremlin sejauh ini belum lagi menunjukkan hasrat untuk mencabar Presiden Donald Trump berhubung Iran dan malah, mencatat lebih banyak kemajuan berbanding yang diramalkan oleh negara-negara Barat dalam mengadakan rundingan dengan pemimpin baharu Syria.
Fyodor Lukyanov, ketua editor Rusia yang berpengaruh bagi majalah Global Politics membandingkan "pembunuhan" Khamenei dengan pembunuhan ketua Libya Kolonel Muammar Gaddafi pada 2011 dan pembunuhan Saddam Hussein pada 2006 melalui hukuman gantung.
Encik Lukyanov berkata pengajaran yang lebih luas daripada peristiwa di Iran adalah jelas: "Berunding dengan Amerika hampir tidak masuk akal."
Walaupun Mosko sudah membeli senjata dari Iran untuk perangnya di Ukraine dan memeterai perkongsian strategik selama 20 tahun dengan Tehran pada awal taun lalu, hubungan antara kedua-dua negara sejak abad ke-16, kadangkala bermasalah.
Perkongsian strategik itu juga tidak mengandungi sebarang klausa pertahanan bersama dan Rusia sudah pun berkali-kali berkata ia tidak mahu Iran membangunkan sebuah bom atom, iaitu langkah yang dikhuatiri Mosko akan mencetuskan perang senjata nuklear di Timur Tengah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.