Skip to main content

Dunia

Putin cadang lanjutkan perjanjian kawalan senjata nuklear Rusia-Amerika setahun lagi

Anggaran Waktu Membaca:
Putin cadang lanjutkan perjanjian kawalan senjata nuklear Rusia-Amerika setahun lagi

Presiden Rusia Vladimir Putin. (Gambar: Pool via REUTERS/Sputnik/Gavriil Grigorov)

Diterbitkan : 23 Sep 2025 02:01PM Dikemas Kini : 23 Sep 2025 02:26PM
MOSKO: Presiden Rusia Vladimir Putin pada Isnin (22 Sep) mencadangkan agar Rusia dan Amerika Syarikat melanjutkan had utama dalam perjanjian kawalan senjata nuklear terakhir yang masih berbaki, iaitu Perjanjian New START, untuk tempoh setahun lagi menjelang tarikh tamatnya pada 5 Feb 2026..

Demikian lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Bagi mengelakkan perlumbaan senjata nuklear strategik yang berterusan dan bagi menjamin keselamatan global, Encik Putin berkata beliau percaya adalah wajar mengekalkan status quo yang ditetapkan oleh New START.

Beliau menegaskan Mosko akan mematuhi “had kuantitatif” perjanjian itu selama setahun selepas tamat tempoh pada 2026, dengan syarat Washington melakukan perkara sama.

Perjanjian New START 2010 mengehadkan setiap pihak kepada 1,550 kepala ledak nuklear strategik yang dikerahkan serta menetapkan had ke atas jumlah peluru berpandu balistik antara benua dan pelancar, dengan peruntukan bagi pemeriksaan bersama.

Ia dibina berasaskan perjanjian asal START yang ditandatangani Presiden Soviet Mikhail Gorbachev dan Presiden Amerika George HW Bush.

Rusia menggantung penyertaannya dalam perjanjian itu pada 2023, kira-kira setahun selepas melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine.

Encik Putin sebelum ini menyatakan sokongan NATO terhadap serangan Ukraine ke atas sasaran strategik di Rusia sebagai alasan menghalang pemeriksa Barat, namun menegaskan Mosko tetap menghormati had kepala ledak yang ditetapkan walaupun perjanjian digantung.
 
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita