Putin beri amaran kepada Barat: Moscow boleh tamatkan eksport, urus niaga

(Gambar: Mikhail Klimentyev/SPUTNIK/AFP)
LONDON: Presiden Rusia Vladimir Putin memberi amaran kepada Barat pada Selasa (3 Mei), beliau boleh menamatkan eksport dan urus niaga, dalam apa yang disifatkan sebagai tindak balas paling tegas Kremlin terhadap sekatan Amerika Syarikat dan sekutunya menyusuli pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Presiden Putin menandatangani dekri pada Selasa yang melarang eksport barangan dan bahan mentah kepada individu dan entiti dalam senarai sekatannya.
Beliau mengarahkan pemerintah agar menyediakan senarai itu dalam masa 10 hari.
Langkah itu yang berkuat kuasa sebaik penerbitannya dijangka mencetuskan huru hara dalam rantaian bekalan global.
Usaha Barat untuk memencilkan Rusia dari segi ekonomi telah menjejas ekonomi dunia.
Harga minyak melambung tinggi dan terdapat amaran tentang kekurangan makanan.
Presiden Putin, 69 tahun, telah berulang kali memberi amaran bahawa Moscow akan bertindak balas, walaupun sehingga Selasa tindak balas ekonomi paling tegas Kremlin adalah untuk memotong bekalan gas ke Poland dan Bulgaria dan menuntut skim pembayaran baru untuk pembeli gas Eropah.
Dekri pada Selasa melarang eksport produk dan bahan mentah kepada individu dan entiti yang dikenakan sekatan Kremlin. Ia melarang sebarang urus niaga dengan orang atau entiti sedemikian - walaupun yang masih di bawah kontrak.
Sejak negara Barat mengenakan sekatan ke atas Rusia, ekonomi negara itu mencatat penguncupan terbesarnya sejak Kesatuan Soviet berpecah pada 1991, di tengah-tengah inflasi yang melambung tinggi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.