Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Putin ancam bekal senjata kepada sekutunya untuk serang kepentingan negara Barat

Anggaran Waktu Membaca:
Putin ancam bekal senjata kepada sekutunya untuk serang kepentingan negara Barat

Presiden Rusia Vladimir Putin. (Gambar: Pool/AP)

SAINTS PETERSBURG: Presiden Rusia Vladimir Putin pada Rabu (5 Jun) mengkritik penghantaran senjata jarak jauh ke Ukraine, sambil menegaskan bahawa Mosko mungkin akan membekalkan negara-negara lain dengan senjata serupa untuk menyerang kepentingan negara-negara Barat.

Presiden Putin berkata demikian di sidang media bersama agensi-agensi media luar negara, selepas sejumlah negara Barat termasuk Amerika Syarikat memberi lampu hijau kepada Ukraine untuk menyerang kepentingan-kepentingan milik Rusia, yang disifatkannya sebagai satu kesilapan yang akan membawa padah.

Presiden Putin turut merujuk kepada Jerman sambil berkata bahawa apabila kereta kebal yang dibekalkan oleh Jerman "muncul buat pertama kali di Ukraine, ia mencetuskan kejutan moral dan etika di Rusia" disebabkan oleh sejarahnya dalam Perang Dunia Kedua.

Merujuk kepada pihak berkuasa Jerman, Presiden Putin berkata: "Apabila mereka mengatakan bahawa akan ada lebih banyak peluru berpandu yang akan menyerang kepentingan-kepentingan kami di wilayah Rusia, ini secara muktamad memusnahkan hubungan Rusia-Jerman."

KEKALAHAN YANG TIDAK DAPAT DITEBUS

Presiden Putin, yang menyangkal dakwaan wakil pihak media termasuk AFP, sekali lagi menegaskan bahawa negaranya "tidak memulakan perang terhadap Ukraine", malah beliau sebaliknya menyalahkan revolusi pro-Barat pada 2014.

Presiden Putin juga enggan mengulas tentang jumlah kerugian di medan perang Rusia-Ukraine dalam konflik yang sudah berlarutan selama lebih dua tahun, hanya setakat berkata bahawa kerugian Ukraine adalah lima kali lebih tinggi.

Isu tentang kematian askar sangat sensitif di Rusia, di mana semua kritikan terhadap konflik itu diharamkan dan "menyebarkan maklumat palsu" mengenai tentera akan membawa hukuman penjara maksimum selama 15 tahun.
 
Sumber : Reuters/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan