Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Puteri Thai masih belum sedarkan diri selepas rebah 3 minggu lalu

Anggaran Waktu Membaca:
Puteri Thai masih belum sedarkan diri selepas rebah 3 minggu lalu

Puteri Bajrakitiyabha Mahidol . (Gambar: Lillian SUWANRUMPHA / AFP)

BANGKOK: Puteri Thailand Bajrakitiyabha masih berada dalam keadaan tidak sedarkan diri setelah rebah akibat masalah jantung lebih tiga minggu yang lalu. 

Demikian menurut kenyataan istana dalam satu kemas kini mengenai kesihatan pewaris takhta yang berusia 44 tahun itu. 

Anak sulung Raja Maha Vajiralongkorn rebah pada 15 Disember akibat aritmia jantung teruk disebabkan oleh radang menyusuli jangkitan mikoplasma, menurut kenyataan yang dikeluarkan istana lewat Sabtu (7 Jan). 

"Keadaan puteri secara keseluruhannya masih dalam keadaan tidak sedarkan diri," menurut istana, seperti dipetik Reuters. 

"Para doktor terus memberikannya ubat dan menggunakan peralatan untuk menyokong fungsi jantung, paru-paru dan ginjal serta menggunakan antibiotik sambil memantau rapi keadaannya." 

Puteri Bajarakitiyabha jatuh sakit semasa membuat persediaan bagi anjing-anjingnya untuk menyertai peraduan di wilayah timur laut Nakhon Ratchasima, di mana beliau dirawat sebelum dibawa ke Bangkok melalui helikopter. 

Beliau merupakan salah satu daripada tiga anak Raja Vajiralongkorn, yang layak untuk naik takhta di bawah undang-undang perwarisan takhta dan perlembagaan negara tersebut. 

Raja Thailand belum mengumumkan warisnya secara rasmi dan tiada perbincangan diadakan setakat ini berhubung prospek puteri itu mengambil alih tempatnya. 

Puteri Bajarakitiyabha, seorang peguam yang mempunyai ijazah sarjana dan kedoktoran dari Universiti Cornell, pernah bertugas sebagai duta Thailand ke Austria, Slovenia dan Slovakia dan di bawah pejabat Peguam Negara, Markas Keselamatan Diraja serta duta Thailand ke Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pencegahan Jenayah dan Keadilan Jenayah. 

Beliau dilahirkan pada 7 Disember 1978. Ibunya adalah isteri pertama Raja Thailand, Puteri Soamsawali. 

Sumber : Reuters/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan