Puteri Harbour mahu perkenal khidmat feri ke SG
Puteri Harbour International Terminal yang dimiliki dan dikendalikan oleh UEM Sunrise Bhd bersedia melaksanakan perkhidmatan feri ke Singapura.

Terminal Feri Puteri Harbour terletak di barat daya negeri Johor. (Gambar: Facebook/Onn Hafiz Ghazi)
Menurut Ketua Pegawai Kewangan UEM Sunrise, Hafizuddin Sulaiman, syarikat itu menyokong sepenuhnya aspirasi Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi untuk menjadikan perkhidmatan tersebut berpotensi menjadi laluan utama bagi pergerakan feri, lapor BH Online.
Kata beliau, "Perkhidmatan ini juga mempunyai potensi untuk memberi manfaat yang besar kepada perniagaan syarikat dan saya melihat perkhidmatan ini berjalan dengan baik.
"Laluan terus ke Singapura ini juga akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan perniagaan UEM Sunrise."
Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara UEM Sunrise dan GuocoLand, pada Khamis (27 Feb).
Perkhidmatan tersebut dijangka mampu menjadi faktor perubahan yang signifikan bagi Johor, kata beliau.
"Dengan peningkatan aliran trafik di Johor, perkhidmatan feri ini akan menjadi nilai tambah yang mampu memberi impak besar kepada Puteri Harbour dan UEM Sunrise.
"Sebagai perbandingan, projek pembinaan Sistem RTS Link mampu menampung 10,000 penumpang setiap jam. Sekiranya konsep yang serupa dapat dilaksanakan menerusi perkhidmatan feri, ia akan membawa manfaat yang besar kepada perniagaan kami," kata Encik Hafizuddin.
Beliau juga menambah bahawa kerjasama dengan agensi kerajaan perlu dilakukan bagi memastikan kelancaran operasi rentas sempadan, lapor BH Online.
"Pada masa ini, kami telah menerima dua perkhidmatan feri, iaitu ke Batam dan Tanjung Balai di Indonesia," kata beliau.
Sebelum ini dimaklumkan, kerajaan Johor sedang meneroka kemungkinan untuk menyediakan perkhidmatan feri antara Puteri Harbour International Terminal dan Singapura.
Terminal itu akan berperanan sebagai pintu masuk antarabangsa, di samping meningkatkan akses pelancong ke Johor dan Malaysia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.