Skip to main content

Dunia

Putera Mahkota Saudi tuduh Iran dalang serangan 2 kapal tangki

Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, menuduh Iran bertanggungjawab atas serangan terhadap dua kapal tangki minyak di laluan penting perkapalan Teluk dan memberi amaran bahawa beliau tidak akan teragak-agak bertindak menangani sebarang ancaman terhadap negaranya. 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 16 Jun 2019 03:51PM Dikemas Kini : 16 Jun 2019 11:07PM

RIYADH: Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, menuduh Iran bertanggungjawab atas serangan terhadap dua kapal tangki minyak di laluan penting perkapalan Teluk dan memberi amaran bahawa beliau tidak akan teragak-agak bertindak menangani sebarang ancaman terhadap negaranya. Demikian menurut petikan wawancara yang diterbitkan pada Ahad (16 Jun).

“Rejim Iran tidak menghormati kehadiran Perdana Menteri Jepun sebagai tetamu di Tehran dan membalas usaha diplomatik beliau dengan menyerang dua kapal tangki, satu daripadanya milik Jepun," kata Putera Mahkota itu kepada akhbar harian Asharq Al Awsat, merujuk kepada serangan di Teluk Oman Khamis lalu.

“Kami tidak mahu peperangan di rantau ini tapi tidak akan teragak-agak untuk menangani sebarang ancaman terhadap rakyat kami, kedaulatan kami, maruah wilayah kami dan kepentingan negara kami,” tegasnya.

Serangan kembar itu menyebabkan harga minyak melonjak naik selain mengeruhkan lagi hubungan antara Amerika Syarikat dengan Iran.

Kapal tangki Kokuka Courageous milik Jepun membawa bahan mudah terbakar metanol semasa belayar melalui Teluk Oman apabila ia diiletupkan, menyebabkan kebakaran yang kemudian berjaya dipadamkan.

Sebuah lagi kapal tangki milik syarikat tersenarai Oslo, Frontline, turut menjadi sasaran.

Kedua-dua kapal itu diserang ketika Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe mengadakan pertemuan dengan para pemimpin Iran di Tehran.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata serangan berkenaan jelas didalangi oleh Iran namun Tehran menafikan sekeras-kerasnya sebarang pembabitan dalam insiden tersebut.

Arab Saudi, sekutu rapat Amerika Syarikat, bermusuh dengan Iran sejak sekian lama.

Iran sebelum ini berulang kali memberi amaran bahawa ia boleh menyekat Selat Hormuz yang strategik, menerusi langkah tindak balas yang kurang canggih tetapi sangat hebat terhadap sebarang serangan oleh Amerika Syarikat.

Sekiranya itu berlaku, ia akan menjejas kapal tangki minyak yang belayar keluar dari rantau Teluk ke Lautan Hindi serta laluan eksport sejagat. 

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita