Skip to main content

Dunia

Putera Mahkota Saudi 'selamat jalani pembedahan' buang umbai usus

Putera Mohammed juga sudah dibenarkan keluar hospital sejurus selepas pembedahan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Putera Mahkota Saudi 'selamat jalani pembedahan' buang umbai usus

Putera Makhkota Saudi Mohammed bin Salman. (Gambar: AP Images)

Diterbitkan : 25 Feb 2021 07:55AM Dikemas Kini : 25 Feb 2021 07:58AM

DUBAI: Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman "menjalani pembedahan dengan selamat" bagi mengeluarkan umbai usus atau 'appendix' pada Rabu (24 Feb).

Demikian menurut Pejabat Ketua Eksekutif Raja Saudi.

Putera Mohammed juga sudah dibenarkan keluar hospital sejurus selepas pembedahan tersebut.

Putera berusia 35 tahun itu menjalani pembedahan bagi mengeluarkan umbai usus di Hospital Pakar Raja Faisal di Riyadh, ibu kota Saudi pada sebelah pagi, menurut kenyataan rasmi Pejabat Ketua Eksekutif Raja Saudi.

Ia menyifatkan pembedahan itu sebagai pembedahan laparoskopik, bermakna tiada sayatan besar yang dibuat.

Lewat semalam, media Saudi menerbitkan rakaman yang menunjukkan putera mahkota itu, diiringi rombongannya, keluar daripada hospital dan menaiki sebuah kereta Mercedes berwarna hitam.

"Beliau meninggalkan hospital dalam keadaan sihat dan sejahtera," menurut pejabat itu lagi, tanpa memberikan perincian.

Putera Mohammed, anak Raja Salman, mula mentadbir kerajaan negara itu sejak dilantik pada 2017.

Kebangkitannya yang begitu pantas, tindakannya yang tidak menentu dan sukar diramal, usahanya yang bersungguh-sungguh untuk mewujudkan sebuah masyarakat liberal di negara yang konservatif serta merombak ekonomi sudah memecahkan tradisi yang berdiri teguh berdekad-dekad lamanya. Ini sekali gus menarik perhatian dan kritikan antarabangsa.

Beliau juga mengetepikan para pesaingnya untuk mengukuhkan kedudukannya dan bertindak melenyapkan pandangan-pandangan berbeza.

Sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mempelbagaikan ekonomi negara yang bergantung kepada minyak itu, media tempatan semalam mengumumkan kerajaan Saudi menyuntik dana AS$3 bilion (S$3.9 bilion) ke dalam satu projek, iaitu transformasi wilayah barat daya berdekatan sempadan Yaman menjadi destinasi utama pelancongan.

Dana Pelaburan Awam Saudi itu bertujuan membina sehingga 2,700 bilik hotel dan 1,300 rumah, serta projek-projek "pelancongan dan hiburan" lain, di daerah pergunungan Asir, menurut laporan Saudi Press Agency.

Di bawah program yang dipanggil Visi 2030 itu, Putera Mohammed menyasarkan industri pelancongan akan menyumbang 10 peratus daripada hasil dalam negeri kasar (GDP) Saudi.

Kempen yang dijangka menarik para pengunjung dan pelaburan asing itu semakin rancak dijalankan, meskipun di tengah-tengah pandemik, menyebabkan tekanan ke atas belanjawan negara.

Sumber : AP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita