Skip to main content

Dunia

Putera Mahkota Saudi mahu jaminan pertahanan, bakal bertemu Trump di Washington

Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman dijangka menggesa jaminan keselamatan yang lebih kukuh apabila beliau melawat Washington minggu ini, menurut para pegawai pada Jumaat (14 Nov), sementara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pula akan menggesa beliau supaya mengambil langkah untuk memulihkan hubungan dengan Israel.
Anggaran Waktu Membaca:
Putera Mahkota Saudi mahu jaminan pertahanan, bakal bertemu Trump di Washington
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman menghadiri mesyuarat dua hala di Istana Diraja di Riyadh, Arab Saudi, pada 13 Mei 2025. (Gambar fail: REUTERS/Brian Snyder)
RIYADH: Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman dijangka menggesa jaminan keselamatan yang lebih kukuh apabila beliau melawat Washington minggu ini, menurut para pegawai pada Jumaat (14 Nov), sementara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pula akan menggesa beliau supaya mengambil langkah untuk memulihkan hubungan dengan Israel.

Ia merupakan lawatan pertama putera mahkota itu ke Amerika Syarikat sejak 2018, semasa pembunuhan kolumnis Washington Post, Jamal Khashoggi, oleh ejen-ejen Saudi mencetuskan kemarahan global dan menegangkan hubungan antara kedua-dua negara.

Para penganalisis berpendapat Riyadh tidak mungkin bersetuju dengan normalisasi pada tahap ini. Keutamaannya adalah untuk mendapatkan komitmen pertahanan Amerika Syarikat yang lebih kukuh menyusuli serangan Israel pada September di Qatar, sekutu rapat Amerika, yang menggugat kestabilan rantau Teluk.

“Bagi pihak Saudi, matlamat lawatan ini kelihatannya tiga kali berlipat: untuk meningkatkan, mengukuhkan dan memudah cara kerjasama keselamatan serta pertahanan,” tulis Aziz Alghashian dari Arab Gulf States Institute di Washington.

Putera Mohammed, 40 tahun, mengekalkan hubungan peribadi yang rapat dengan Encik Trump, diperkukuh lagi dengan sambutan mewah dan komitmen pelaburan bernilai AS$600 bilion (S$778.56 bilion) semasa lawatan presiden itu ke Arab Saudi pada Mei.

Putera mahkota itu akan bertemu dengan Encik Trump pada Selasa, menurut sumber yang rapat dengan kerajaan, memandangkan lawatan Saudi jarang diumumkan awal. Satu forum pelaburan Amerika Syarikat-Saudi yang menumpukan pada tenaga dan kecerdasan buatan (AI) juga akan berlangsung semasa lawatan tersebut.

JAMINAN KESELAMATAN SEBAGAI KEUTAMAAN

Encik Trump sebelum ini berkata beliau mahu Arab Saudi menyertai Perjanjian Abraham, sambil menyifatkan pengiktirafan Israel oleh Riyadh sebagai pencapaian diplomatik yang besar. Namun langkah awal ke arah normalisasi terhenti selepas serangan Hamas pada Oktober 2023 dan perang Gaza yang menyusul.

Para pegawai Saudi berkata pendirian kerajaan kekal tidak berubah. Riyadh menegaskan bahawa penubuhan sebuah negara Palestin mesti didahulukan.

“Negara Palestin merupakan prasyarat bagi penyepaduan serantau,” kata Manal Radwan, yang mengetuai pasukan perundingan di kementerian hal ehwal luar negeri Saudi, pada Dialog Manama di Bahrain. “Kami sudah banyak kali menyatakannya, tetapi soalan yang sama masih terus diajukan kepada kami.”

Sebaliknya, putera mahkota itu dijangka akan menumpukan usaha untuk mendapatkan jaminan keselamatan yang kukuh daripada Washington. Qatar menerima perintah eksekutif yang ditandatangani Encik Trump yang menjanjikan perlindungan Amerika Syarikat selepas serangan Israel pada September, dan para penganalisis berkata negara-negara Teluk lain turut mahukan komitmen yang serupa.

Riyadh juga mahukan akses kepada sistem pertahanan udara dan peluru berpandu yang canggih, selain berusaha mendapatkan kelulusan untuk membeli jet pejuang F-35. Israel kini merupakan satu-satunya negara di Timur Tengah yang mengendalikan pesawat tersebut. Kerajaan itu juga sedang mengusahakan akses kepada cip berprestasi tinggi yang diperlukan bagi aspirasi kecerdasan buatannya.

Arab Saudi pula mengamalkan pendekatan untuk meredakan ketegangan serantau sambil melaksanakan projek-projek pelancongan, hiburan dan infrastruktur besar di bawah pelan kepelbagaian ekonomi Visi 2030. Ini termasuk memperbaharui hubungan dengan Iran.

Pakar keselamatan Andreas Krieg dari King’s College London berkata putera mahkota itu akan berusaha mendapatkan rangka kerja pertahanan Amerika Syarikat-Saudi yang utuh, yang dapat mengukuhkan daya cegah terhadap Iran dan menyokong matlamat ekonominya.

“Sebagai pertukaran, Washington akan mendesak kawal selia yang lebih ketat ke atas hubungan sensitif dengan China serta langkah konkrit ke arah mewujudkan hubungan dengan Israel dan satu hala tuju politik yang munasabah bagi rakyat Palestin,” katanya.

TRUMP DAN PUTERA MOHAMMED KEKAL RAPAT

Hubungan Encik Trump dengan Putera Mohammed membentuk beberapa keputusan serantau. Semasa lawatan Encik Trump ke Arab Saudi pada Mei, presiden itu secara terbuka memuji putera mahkota tersebut.

Hubungan baik mereka juga mempengaruhi pendekatan Washington terhadap Syria. Encik Trump berkata putera mahkota itu menggesanya supaya menggugurkan sekatan selepas kejatuhan Bashar al-Assad dan untuk bertemu dengan pemimpin peralihan Syria, Ahmed al-Sharaa, yang kemudiannya melakukan lawatan ke Rumah Putih.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita