Skip to main content

Dunia

Putera Mahkota Arab Saudi puji pasukan keselamatan pastikan kelancaran ibadah Haji

Anggaran Waktu Membaca:
Putera Mahkota Arab Saudi puji pasukan keselamatan pastikan kelancaran ibadah Haji

Putera Mahkota Mohammed bin Salman. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 07 Jun 2025 11:55AM Dikemas Kini : 07 Jun 2025 12:13PM
  • Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman memuji kecekapan pasukan keselamatan dan para petugas kerajaan atas usaha gigih mereka dalam memastikan kelancaran dan keselamatan ibadah Haji, menerusi penglibatan lebih 213,000 anggota dari pelbagai sektor.
  • Arab Saudi akan terus mengutamakan keselesaan dan keselamatan jemaah melalui perkhidmatan bersepadu serta komitmen institusi yang utuh.
  • Kejayaan berterusan dalam pengurusan Haji mencerminkan dedikasi yang tidak berbelah bahagi oleh kerajaan dalam memberikan khidmat kepada Dua Masjid Suci dan para pengunjungnya.
  • Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif, Mufti Besar, para ulama, menteri-menteri, pegawai Majlis Kerjasama Teluk (GCC), serta para komander sektor keselamatan dan ketenteraan yang terlibat dalam operasi Haji tahun ini.
Dijana oleh AI
MINA: Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman memuji kecekapan pasukan keselamatan dan para petugas kerajaan atas usaha gigih mereka dalam memastikan kelancaran dan keselamatan ibadah Haji, menerusi penglibatan lebih 213,000 anggota dari pelbagai sektor.

Dalam ucapan yang disampaikan bagi pihak Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, Putera Mohammed bin Salman berkata Arab Saudi akan terus mengutamakan keselesaan dan keselamatan jemaah melalui perkhidmatan bersepadu serta komitmen institusi yang utuh.

“Beta berkenan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas usaha berterusan yang telah dicurahkan oleh tuan-tuan, para petugas dalam pelbagai sektor kerajaan, serta para sukarelawan lelaki dan wanita yang melaksanakan dasar-dasar kerajaan demi memastikan para jemaah dapat menunaikan ibadah mereka dengan aman dan tenteram,” katanya semasa majlis sambutan Aidiladha di Istana Diraja Mina.

Beliau berkata kejayaan berterusan dalam pengurusan Haji mencerminkan dedikasi yang tidak berbelah bahagi oleh kerajaan dalam memberikan khidmat kepada Dua Masjid Suci dan para pengunjungnya.

“Beta memohon kepada Allah SWT agar terus melimpahkan keamanan dan keselamatan kepada kita, serta menganugerahkan kejayaan kepada beta untuk meneruskan amanah yang agung ini dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif, Mufti Besar, para ulama, menteri-menteri, pegawai Majlis Kerjasama Teluk (GCC), serta para komander sektor keselamatan dan ketenteraan yang terlibat dalam operasi Haji tahun ini.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita