Pusingan baharu rundingan gencatan senjata Gaza sudah bermula di Doha
Seorang pegawai kanan Hamas berkata pusingan baharu rundingan perjanjian gencatan senjata di Gaza telah bermula di Doha, ibu kota Qatar pada Selasa (11 Mac).

Penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal berlindung di sebuah sekolah dikendalikan oleh UNRWA di Bandar Gaza pada 9 Mac 2025. (Gambar: AP/Jehad Alshrafi)
Kumpulan itu juga dilaporkan mengambil pendekatan "positif dan bertanggungjawab" terhadap rundingan itu.
Israel juga sudah menghantar sekumpulan perunding untuk mengadakan rundingan dengan tujuan melanjutkan tempoh perjanjian gencatan senjata yang rapuh di Gaza.
Namun ia sejauh ini belum lagi mengulas tentang rundingan yang diadakan.
"Kami berharap rundingan kali ini membawa kepada kemajuan ketara ke arah permulaan fasa kedua," kata pegawai kanan Hamas, Abdul Rahman Shadid.
Beliau juga berharap agar Utusan Amerika ke Timur Tengah Steve Witkoff boleh membantu "memulakan rundingan bagi fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza".
"Pentadbiran Amerika memikul bertanggungjawab disebabkan oleh sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan kepada pemerintah Israel."
Fasa pertama perjanjian gencatan senjata selama 42 hari itu berakhir pada awal Mac lalu tanpa persetujuan untuk melanjutkannya ke peringkat seterusnya.
Terdapat pendapat berbeza berhubung bagaimana untuk meneruskan dengan perjanjian itu.
Hamas memohon supaya rundingan segera dilaksanakan bagi fasa seterusnya gencatan senjata manakala Israel mahu melanjutkan tempoh pelaksanaan fasa pertama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.