Pusat tahfiz 'kanak-kanak dicucuh api' disahkan beroperasi tanpa lesen
Pusat tahfiz yang merupakan lokasi kejadian seorang kanak-kanak dicucuh api dan diugut akan dipotong kemaluannya dengan menggunakan gunting rumput, disahkan beroperasi tanpa lesen daripada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
Cik Shahaniza Shamsuddin. (Gambar: Seri Noor/Facebook)
KUANTAN: Pusat tahfiz yang merupakan lokasi kejadian seorang kanak-kanak dicucuh api dan diugut akan dipotong kemaluannya dengan menggunakan gunting rumput, disahkan beroperasi tanpa lesen daripada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang Cik Shahaniza Shamsuddin berkata pusat tahfiz itu sekadar berdaftar dengan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).
"Pusat itu berdaftar dengan MPK sebagai pusat asuhan dan sudah beroperasi sejak empat tahun lalu, diuruskan secara persendirian termasuk dalam soal sukatan pelajaran serta tidak menerima bantuan kewangan daripada mana-mana pihak.
"Setakat ini, terdapat sembilan pelajar berusia antara lapan hingga 17 tahun di sini yang dikenakan bayaran sebanyak RM250 sebulan meliputi bayaran makan dan tempat tinggal," katanya kepada para wartawan selepas mengunjungi pusat tahfiz hari ini (4 Sep).
Mengulas mengenai pertemuannya dengan mangsa yang berusia lapan tahun, Cik Shahaniza berkata kanak-kanak itu tidak menunjukkan tanda-tanda trauma dengan kejadian itu, sebaliknya beranggapan ia adalah hukuman kepadanya.
"Kanak-kanak itu mengatakan dia tidak lagi kencing merata-rata atau di atas tilam kerana hukuman itu menjadikannya lebih berdisiplin. Bapa kanak-kanak itu juga mengakui beliau tahu mengenai kejadian.
"Katanya, beliau sudah ditunjukkan video itu terlebih dahulu sebelum ia menjadi viral. Malah, bapa kanak-kanak itu masih menghantar anaknya tinggal di sana, meskipun sudah dinasihatkan untuk mengambil anaknya pulang," katanya.
Cik Shahaniza juga menasihatkan semua pusat tahfiz di Pahang untuk mendaftar dengan pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan dan kebajikan kanak-kanak selain memastikan mereka mendapat pendidikan yang sempurna.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.