Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pusat sembelih ayam di Kuala Lumpur diarah tutup

Anggaran Waktu Membaca:
Pusat sembelih ayam di Kuala Lumpur diarah tutup

Gambar: Agensi berita /Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)

Diterbitkan : 14 Sep 2022 10:49AM Dikemas Kini : 14 Sep 2022 12:24PM
KUALA LUMPUR: Sebuah pusat penyembelihan ayam di Desa Tun Razak, Cheras, di Kuala Lumpur diarah tutup kerana beroperasi dalam keadaan daif dan menjijikkan dalam operasi yang dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Selasa (13 Sep).

Menerusi kenyataan di Facebook DBKL, pemeriksaan pada pukul 1.00 pagi itu mendapati lantai dan dinding di ruang pemprosesan penyembelihan ayam dalam premis berada dalam keadaan berkarat, berlumut serta berdaki hitam, lapor Sinar Harian.

Selain itu, semua pekerjanya tidak mendapatkan suntikan tifoid dan gagal mempamerkan dokumen pengenalan kerana kebanyakan merupakan warga asing.

"Tiada sistem penapisan sisa efluen menyebabkan sisa buangan termasuk darah ayam dialirkan terus ke saliran atau longkang awam.

"Tandas turut kotor serta tiada kelangkapan asas. Malah ayam didapati diproses dan diletakkan di atas lantai," Sinar Harian menukil kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa (13 Sep).

Menurut kenyataan itu, seramai 21 anggota terlibat dalam operasi pemeriksaan DBKL bersama agensi sahabat iaitu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Indah Water Konsortium (IWK) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Kenyataan itu menambah dua kompaun dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil 23(3)(b)- UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016 dan Seksyen 47(1)(d) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

"Amaran dan nasihat berhubung kehendak-kehendak kesihatan yang perlu dipatuhi diterangkan kepada pelesen dan pekerja premis.

"Notis Perintah Penutupan Di bawah Akta Makanan 1983 dikeluarkan bagi tujuan pembersihan dan penambahbaikan berkuat kuasa serta-merta hingga pemeriksaan susulan akan dijalankan," menurut kenyataan itu.

Selain itu, JAS WPKL turut mengambil sampel air untuk dianalisa serta penahanan operasi kelengkapan di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta 127.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan