Skip to main content

Dunia

Pusat riadah ditutup gara-gara kes kencing tikus

Pusat rekreasi Hutan Lipur Gunung Belumut di Kluang ditutup berikutan aduan dua kanak-kanak yang dijangkiti virus kencing tikus setelah mengunjungi kawasan berkenaan pada 16 Februari lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pusat riadah ditutup gara-gara kes kencing tikus

Gambar: mygeoview.info

Diterbitkan : 20 Mar 2018 08:25AM Dikemas Kini : 20 Mar 2018 08:30AM

JOHOR BAHRU: Pusat rekreasi Hutan Lipur Gunung Belumut di Kluang ditutup berikutan aduan dua kanak-kanak yang dijangkiti virus kencing tikus setelah mengunjungi kawasan berkenaan pada 16 Februari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata bahawa penutupan itu adalah bagi membolehkan kerja-kerja siasatan dilakukan oleh pihak terlibat termasuk mendapatkan keputusan sampel air di pusat rekreasi tersebut.

Katanya buat masa ini, beberapa tindakan sudahpun dan akan diambil termasuk mengadakan gotong-royong bagi membersihkan kawasan terbabit selain memasang perangkap tikus untuk mengesan leptospira.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan negeri juga memasang papan tanda amaran kesihatan di pintu masuk kawasan bagi menerangkan risiko kesihatan kepada para pengunjung.

“Memandangkan kawasan rekreasi tiada bekalan air bersih, risiko untuk mendapat jangkitan gastroenteritis adalah tinggi terutama bagi kumpulan berisiko yang berkelah di sana.

“Tiada tempat mandian selepas bermain air sungai juga meningkatkan risiko jangkitan melalui kulit seperti leptospirosis dan lain-lain. Selaras itu, kawasan ini ditutup bermula 19 Mac,” katanya dalam satu kenyataan semalam (19 Mac).

Datuk Ayub berkata bahawa dua mangsa yang dijangkiti sebelum ini merupakan kanak-kanak perempuan dan lelaki, masing-masing berusia tujuh dan lima tahun.

Kedua-dua mereka adalah adik-beradik yang dilaporkan bercuti di kawasan itu bersama 30 lagi anggota keluarganya dan sanak saudara yang lain.

Setelah pulang, kedua-duanya mengalami muntah dan cirit-birit dan dimasukkan ke Hospital Kulai pada 23 Feb sebelum dibenarkan keluar pada keesokan harinya dengan diagnosis Acute Gastroenteritis (AGE).

“Notifikasi leptospirosis (kencing tikus) dibuat ekoran keputusan makmal kedua pada 13 Mac dan selepas kanak-kanak tersebut dilaporkan serologi positif pada 15 Mac,” katanya.

Menurut Datuk Ayub, pemeriksaan lanjut kemudian turut mendapati bahawa sembilan lagi individu yang bersama-sama menyertai percutian dengan kanak-kanak terbabit, mengalami gejala yang sama sekitar tarikh terbabit.

“Siasatan ke atas mereka masih berterusan. Kesemua kontak yang berkemungkinan menghidap penyakit AGE tetapi ujian leptospirosis (kencing tikus) juga akan dijalankan,” katanya. 

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita