Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pusat penamaan calon PRU15 M'sia bagi Parlimen Padang Serai, Dun Tioman dibuka 9 pagi

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen Padang Serai, Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Malaysia diadakan semula pada Khamis (24 Nov).

PRU15 Malaysia di kedua-dua kawasan berkenaan ditangguhkan berikutan kematian calon yang disahkan bertanding iaitu M. Karupaiya daripada Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Padang Serai dan Md Yunus Ramli mewakili Perikatan Nasional (PN) untuk DUN Tioman.
Calon sah dinamakan bagi kedua-dua kerusi berkenaan pada 5 November lepas, dikehendaki hadir ke pusat penamaan calon untuk tujuan cabutan undi dalam menentukan giliran pada kertas undi manakala calon baru pula boleh menyerahkan kertas penamaan calon kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengikut tempoh ditetapkan.

Bakal calon bagi Parlimen Padang Serai boleh menyerahkan kertas penamaan calon dari pukul 9.00 hingga 10.00 pagi kepada Pegawai Pengurus di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Kulim, Kedah.

Bagi DUN Tioman adalah di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin, Pahang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia menetapkan hari pengundian pada 7 Disember dan pengundian awal pada 3 Disember dengan tempoh berkempen selama 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding hingga pukul 11.59 malam 6 Disember.

Mendiang Encik Karupaiya, 69 tahun, meninggal dunia pada 16 November lepas dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan manakala Allahyarham Md Yunus, 61 tahun, disahkan meninggal dunia beberapa jam sebelum proses pengundian, Sabtu lepas (19 Nov).

Mendiang Encik Karupaiya sepatutnya menghadapi saingan enam penjuru menentang lima lagi calon iaitu Hamzah Abd Rahman (Pejuang-Putra), C. Sivaraajh (BN-MIC), Mohd Bakhri Hashim (Warisan), Azman Nasrudin (PN-Bersatu) dan calon Bebas Sreanandha Rao pada PRU15 Sabtu lepas.

PRU15 Malaysia bagi DUN Tioman pula sepatutnya melibatkan pertembungan lima penjuru antara Md Yunus, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH-Amanah) dan Mohd Johari Hussain (BN-UMNO).
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan