Purbaya 'terkilan' digugurkan sebagai Menteri Kewangan Indonesia, sudah jangka keputusan itu
Purbaya Yudhi Sadewa berkata beliau "terkilan" selepas digugurkan sebagai Menteri Kewangan Indonesia, tetapi mengakui sudah menjangkakan kemungkinan keputusan itu diambil.
Menteri Kewangan Indonesia yang baharu Suahasil Nazara (kiri) bersama pendahulunya Purbaya Yudhi Sadewa selepas upacara serah terima jawatan di Kementerian Kewangan di Jakarta pada 15 September 2026. (Gambar: Kementerian Kewangan Indonesia)
- Purbaya Yudhi Sadewa digugurkan sebagai Menteri Kewangan Indonesia oleh Presiden Prabowo Subianto pada 14 September, dan digantikan oleh Suahasil Nazara.
- Pengguguran ini berlaku di tengah krisis keyakinan pelabur akibat defisit belanjawan besar, penurunan prospek kredit, dan kejatuhan nilai rupiah.
- Purbaya mengakui sudah menjangka pemecatan itu dan menyatakan tiada percanggahan dasar dengan Presiden, namun terdapat perbezaan dengan pegawai lain.
- Suahasil berikrar mempertahankan kredibiliti fiskal dan memastikan kesinambungan dasar, dengan harapan pelabur dan pihak berkepentingan dapat bekerjasama.
Presiden Prabowo Subianto secara tiba-tiba menggugurkan Encik Purbaya daripada jawatan itu pada Isnin (14 Sep) dan melantik timbalannya Suahasil Nazara sebagai Menteri Kewangan yang baharu.
Langkah tersebut mengejutkan pasaran, tetapi turut dilihat sebagai usaha untuk memulihkan keyakinan terhadap dasar fiskal pemerintah.
Selepas upacara serah terima jawatan di Kementerian Kewangan pada Selasa (15 Sep), Encik Purbaya memberitahu para wartawan bahawa beliau mengetahui mengenai penggugurannya menerusi panggilan telefon daripada jurucakap Presiden, Prasetyo Hadi, pada Isnin.
Encik Purbaya dilihat menerima panggilan telefon dan meninggalkan mesyuarat parlimen sebelum ia berakhir, hanya beberapa jam sebelum Encik Suahasil mengangkat sumpah jawatan.
"Malam tadi, sukar untuk saya tidur. Saya terkilan, tetapi sekarang tidak begitu teruk," kata Encik Purbaya.
"Malam ini saya boleh tidur lena," tambahnya.
Encik Purbaya berkata beliau sudah menjangkakan kemungkinan dipecat susulan satu keputusan yang dibuatnya baru-baru ini, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
Encik Purbaya berkata beliau tidak mempunyai sebarang percanggahan dasar dengan Encik Prabowo, tetapi penggugurannya sebahagiannya berkaitan perbezaan dengan pegawai pemerintah lain.
KRISIS KEYAKINAN PELABUR
Pengguguran Encik Purbaya dibuat hanya beberapa hari selepas genap setahun beliau menerajui Kementerian Kewangan.
Ia berlaku sedang ekonomi terbesar Asia Tenggara itu berdepan krisis keyakinan dalam kalangan pelabur dan penganalisis.
Dasar fiskal Encik Prabowo menjadi perhatian sejak beliau mengambil alih jawatan pada Oktober 2024, antara lain disebabkan janji kempen yang memerlukan perbelanjaan besar.
Sepanjang tempoh Encik Purbaya menerajui Kementerian Kewangan, Indonesia mencatat pertumbuhan ekonomi terpantas dalam tempoh tiga tahun.
Namun, negara itu turut mencatat defisit belanjawan paling besar dalam tempoh lebih 20 tahun, tidak termasuk ketika pandemik.
Agensi penarafan (rating) Fitch dan Moody's turut menurunkan prospek penarafan kredit Indonesia.
Aliran keluar modal juga meningkat tahun ini sehingga menyebabkan rupiah merosot ke paras terendah dalam sejarah.
Keadaan itu didorong kebimbangan terhadap perbelanjaan fiskal, campur tangan terhadap bank pusat dan isu ketelusan dalam pasaran modal, selain penghindaran risiko global akibat perang di Timur Tengah.
Encik Purbaya menyifatkan tempoh beliau sebagai Menteri Kewangan adalah "agak baik", sambil merujuk kepada pertumbuhan ekonomi negara itu.
Beliau berkata selepas bersara, beliau merancang meluangkan masa memancing di kolam di belakang rumahnya.
SUAHASIL IKRAR PERTAHAN KREDIBILITI FISKAL
Dalam upacara serah terima jawatan, Encik Suahasil menggesa semua pihak berkepentingan agar membuka ruang bagi kerjasama.
Beliau berikrar untuk mempertahankan kredibiliti fiskal Indonesia dan mematuhi had defisit fiskal yang ditetapkan undang-undang pada tiga peratus daripada GDP.
Encik Suahasil, 55 tahun, merupakan seorang teknokrat berpengalaman yang sudah dikenali dalam kalangan pelabur dan penganalisis.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Indonesia Shinta Kamdani berharap pelantikan Encik Suahasil dapat memastikan kesinambungan dasar dan mengelakkan perubahan mendadak dalam hala tuju dasar pemerintah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.