Punca kematian 2 beradik maut selepas makan sisa sampah di M'sia masih belum diketahui
Punca kematian dua beradik warga Myanmar yang maut selepas dipercayai memakan sisa makanan daripada tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa dekat Bukit Malut, Langkawi, pada Ahad lalu (13 Feb) akan diketahui selepas proses analisis lanjut selesai.
ALOR SETAR: Punca kematian dua beradik warga Myanmar yang maut selepas dipercayai memakan sisa makanan daripada tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa dekat Bukit Malut, Langkawi, pada Ahad lalu (13 Feb) akan diketahui selepas proses analisis lanjut selesai.
Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata proses bedah siasat dijalankan ke atas mayat Nizambudin Jamaludin, 4 tahun, dan Ngei, 2 tahun, di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, bermula pukul 10.00 pagi hingga 3.15 petang pada Selasa (15 Feb).
“Punca kematian sebenar masih belum dapat dipastikan lagi dan sedang menunggu analisis lanjut. Polis akan merujuk kepada Jabatan Kimia Malaysia di Pulau Pinang untuk sebarang hasil analisis berkaitan kematian dua beradik ini.
“Siasatan masih berjalan dan polis terpaksa menggunakan jurubahasa terhadap bapa kedua-dua mangsa yang tidak fasih berbahasa Melayu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada Ahad lalu, dua beradik itu ditemukan dalam keadaan terhuyung-hayang oleh bapa mereka yang berumur 36 tahun pada pukul 5.30 petang di kawasan tong sampah sebelum kedua-dua budak berkenaan maut beberapa minit kemudian.
Bapa kepada dua kanak-kanak itu ditahan pada pukul 12.05 tengah malam pada Isnin (14 Feb) dan kini sedang direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.