Skip to main content

Dunia

Puluhan sekolah Indonesia ditutup buat hari kedua susuli jerebu akibat kebakaran hutan

Anggaran Waktu Membaca:
Puluhan sekolah Indonesia ditutup buat hari kedua susuli jerebu akibat kebakaran hutan

Gambar fail kebakaran hutan di Indonesia dipetik pada Okt 2019 (Gambar: Reuters/Willy Kurniawan)

Diterbitkan : 11 Aug 2026 07:31PM
  • Berpuluh-puluh sekolah di Pontianak, Kalimantan Barat ditutup selama dua hari bagi melindungi pelajar daripada jerebu akibat kebakaran hutan yang semakin teruk.
  • Datuk Bandar Pontianak, Edi Rusdi Kamtono, mengarahkan pelajar belajar dari rumah selagi mutu udara tidak bertambah baik.
  • Kebakaran besar turut berlaku di Taman Negara Bromo Tengger Semeru, Jawa Timur, memaksa penutupan kawasan pelancongan dan penglibatan ratusan anggota bomba serta helikopter.
  • Fenomena El Nino dan musim kering luar biasa menyebabkan lebih 107,000 hektar tanah terbakar di Indonesia tahun ini, dua kali ganda berbanding tahun lalu.
Dijana oleh AI
JAKARTA: Berpuluh-puluh sekolah di Indonesia ditutup untuk hari kedua pada Selasa (11 Ogos) bagi melindungi pelajar daripada jerebu yang merebak akibat kebakaran hutan pada awal musim kering yang panjang dan dahsyat, diburukkan oleh fenomena El Nino.

Datuk bandar Pontianak mengarahkan sekolah-sekolah ditutup disebabkan asap yang menyelubungi bandar itu daripada kebakaran di tempat lain.

Rekod awam menunjukkan terdapat berpuluh-puluh ribu murid sekolah awam di bandar itu, yang terletak di wilayah Kalimantan Barat, Indonesia.

Kanak-kanak akan belajar dari rumah selagi mutu udara kekal buruk, kata Datuk Bandar Edi Rusdi Kamtono dalam kenyataan pada Isnin.

"Kami sudah mula merasakannya, terutama pada waktu malam dan pagi, kerana jerebu sudah menyelubungi bandar Pontianak," katanya.

Di pulau Jawa, anggota bomba memerangi kebakaran untuk hari kesembilan di sebuah taman negara, dengan kebakaran memusnahkan 900 hektar atau 2,200 ekar kawasan.

Kebakaran di Taman Negara Bromo Tengger Semeru, tarikan pelancongan utama yang ditutup kepada pengunjung sejak Sabtu, merupakan antara beberapa kebakaran yang menyebabkan hampir 50,000 anggota bomba dikerahkan di seluruh negara.

Agensi cuaca Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) menyatakan Indonesia dijangka mengalami musim kering yang luar biasa sukar tahun ini dengan risiko tinggi kemarau dan kebakaran hutan, sebahagiannya disebabkan fenomena cuaca El Nino.

Lebih 107,000 hektar tanah sudah terbakar di seluruh negara itu setakat tahun ini.

Sementara itu, anggota bomba bertungkus-lumus mengawal kebakaran di Taman Negara Bromo Tengger Semeru, di Probolinggo, wilayah Jawa Timur.

"Kami sedang melakukan yang terbaik dan mengerahkan segala-galanya... untuk memadamkan api dan membasahi kawasan itu," kata pegawai bencana tempatan Satriyo Nurseno kepada AFP.

Tiga helikopter pemadam kebakaran dan trak bomba menyediakan sokongan kepada sekitar 200 anggota bomba, renjer hutan, polis dan askar yang membantu memadamkan kebakaran.

Menurut agensi bencana Maklumat dan Komunikasi Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), lebih 48,000 anggota telah dikerahkan untuk memerangi kebakaran di enam wilayah.

Menteri Keselamatan Indonesia Djamari Chaniago berkata pada Isnin bahawa Indonesia mengerahkan 43 helikopter dan sehingga 15 pesawat untuk pembenihan awan apabila diperlukan.

Ketika Indonesia bersiap menghadapi kesan terburuk El Nino, BMKG menyatakan suhu udara purata pada Julai ialah 27 darjah Celsius, jauh lebih tinggi berbanding purata 26.2 darjah Celsius bagi bulan itu.

Kawasan yang musnah akibat kebakaran hutan di Indonesia setakat tahun ini adalah dua kali ganda berbanding kawasan yang terbakar pada 2023.
Sumber : Agensi berita/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita