Skip to main content

Dunia

Puluhan ribu pelawat asing terkandas susuli gangguan sistem pagar automatik di pusat pemeriksaan Johor

Anggaran Waktu Membaca:
Puluhan ribu pelawat asing terkandas susuli gangguan sistem pagar automatik di pusat pemeriksaan Johor

Gambar fail Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar di Bahru. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)

Diterbitkan : 10 Jan 2026 05:03PM Dikemas Kini : 10 Jan 2026 06:05PM
  • Puluhan ribu warga asing terpaksa beratur panjang di CIQ Bangunan Sultan Iskandar dan KSAB Johor akibat gangguan besar pada sistem pagar automatik imigresen pada Sabtu.
  • Masalah teknikal ini menyebabkan pelawat asing menunggu sehingga dua jam, terutama ketika kempen Visit Malaysia dan Visit Johor 2026 berlangsung.
  • Rakyat Malaysia masih boleh menggunakan sistem autogate, manakala Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) membuka semua kaunter manual untuk mengurangkan kesesakan.
  • AKPS sedang memulihkan sistem secara berperingkat dan mengeluarkan makluman rasmi agar pelawat bersedia menghadapi kelewatan.
Dijana oleh AI
JOHOR BAHRU: Puluhan ribu warga asing terpaksa beratur panjang di dua pusat pemeriksaan darat di Johor selepas berlaku gangguan teknikal besar-besaran, yang menjejas sebahagian besar sistem pagar automatik (autogate) imigresen pada Sabtu (10 Jan).

Tempat yang paling terjejas adalah di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di mana para pelawat asing perlu menunggu sehingga dua jam untuk melepasi imigresen, seperti dilapor The Star.

Sekurang-kurangnya 39 sistem pagar automatik di pintu masuk dan 29 mesin berkenaan di tempat keluar dewan bas di BSI dilaporkan sudah pun mengalami masalah itu selama beberapa hari, namun sistem itu mengalami gangguan besar-besaran pada Sabtu disebabkan jumlah pelawat asing yang ramai pada hujung mingg.

Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) mempunyai 12 sistem pagar automatik.

Rakyat Malaysia yang menggunakan pasport masih boleh menggunakan sistem pagar automatik tersebut, manakala sistem bagi motosikal dan kereta juga berfungsi dengan baik.

"Sistem pagar automatik di stesen kereta api KTM di BSI juga tidak beroperasi," kata seorang pegawai keselamatan, sambil menambah usaha sedang dijalankan bagi memulihkan sistem itu secara berperingkat, seperti dilapor The Star.

"Ia adalah gangguan besar-besaran pertama yang berlaku tahun ini, dan masanya kurang baik terutamanya apabila kita menerima ketibaan ramai pelawat asing sempena kempen Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Johor 2026," kata pegawai tersebut.

Pegawai itu menambah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) mengarahkan supaya semua kaunter manual dibuka bagi menangani jumlah pengunjung yang ramai.

Pegawai itu menambah, sejauh ini situasi di KSAB masih dapat dikawal, menurut laporan The Star.

Pada Julai tahun lalu, satu kejadian serupa berlaku yang menjejas operasi sistem pagar automatik di pusat-pusat pemeriksaan utama di seluruh Malaysia di mana ia menjejas lebih 380,000 warga asing.

Pada ketika ini, AKPS kini sedang mengeluarkan makluman rasmi mengenai gangguan itu bagi menggesa para pelawat supaya bersiap sedia menghadapi kelengahan.

Sejak 1 Jun 2024, para pelawat dari 63 negara, serta ahli diplomat yang ditempatkan di Malaysia dan anggota keluarga, layak menggunakan sistem pagar automatik itu bagi pelepasan imigresen lebih cepat.
Sumber : Agensi berita/HA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita