Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Puluhan penonton pengsan terhimpit gara-gara festival muzik di Jakarta lebihi kapasiti

Anggaran Waktu Membaca:
JAKARTA: Keseronokan menikmati persembahan muzik di sebuah festival muzik di Jakarta, Indonesia terjejas dengan insiden penonton yang terlalu sesak dan berhimpit sehinggakan puluhan daripada mereka pengsan serta memerlukan rawatan kecemasan.

Itu yang berlaku dalam acara Festival Berdendang Bergoyang yang diadakan di Istora Senayan pada Sabtu (29 Okt).

Media tempatan melaporkan, insiden itu berlaku kerana dipercayai penonton dan pengunjung yang dibenarkan memasuki festival itu melebihi kapasiti.

"Di kawasan acara terlalu ramai, sudah banyak yang pengsan tadi. Mangsanya mencapai puluhan orang,” ujar Ketua Polis Metro Jakarta Pusat, Komarudin seperti yang dilapor portal Detikcom.

Tambah Komarudin, beberapa penonton juga mengalami kecederaan ringan termasuk luka melecet akibat bersesakan.

"Festival Berdendang Bergoyang yang dianjurkan di Istora ini terpaksa kami hentikan kerana situasi khalayak yang melebihi kapasiti dan berbahaya,” katanya yang mengarahkan festival itu menutup acara pada jam 10.00 malam, lebih awal dari yang dijadualkan.

Menurut seorang warga Malaysia yang enggan namanya didedahkan, dia menyedari sesuatu yang buruk akan berlaku pada festival berkenaan sejak menghadirinya pada hari Jumaat (28 Okt).

Warga Malaysia itu yang datang untuk menyaksikan persembahan pilihannya, iaitu penyanyi Tulus, mengakui keadaan di tapak persembahan agak sesak kerana pihak penganjur dipercayai menjual tiket melebihi kapasiti kawasan pengunjung.

“Persembahan Tulus di pentas paling besar di kawasan terbuka. Masa nak masuk tu sudah berlaku aksi tolak-menolak. Nak keluar selepas itu pun agak susah,” ujarnya yang sedaya upaya mencari jalan keluar selepas Tulus membuat persembahan.

Beliau melupakan niatnya untuk menikmati persembahan artis lain yang turut dijadual akan membuat persembahan seperti Melly Goeslaw, Padi dan Yura Yunita.

Apabila ditanya mengenai aspek pemeriksaan di pintu masuk, pengunjung Malaysia yang bertugas dalam dunia penyiaran itu berkata: “Semuanya seperti tidak dirancang dengan baik. Gelang tangan yang diberikan kepada penonton sebenarnya tiada barcode atau cip mikro. Pengawal hanya periksa ala kadar, jadi kalau ada penonton yang tipu pun bukannya mereka tahu.”

Lebih mengundang risiko, menurutnya, tiada tanda keluar atau masuk yang sewajarnya di lokasi festival dan ruang penonton.

“Saya lihat tiada laluan yang khusus untuk pergerakan orang masuk dan keluar. Semua satu pintu sahaja. Maka, setiap kali berakhir satu-satu persembahan, penonton terpaksa bersesakan untuk bergerak dari satu pentas ke pentas yang lain.

"Di situ, insiden bertolak-tolakan terjadi hingga boleh membawa kepada aksi merusuh,” jelasnya yang lega dirinya terhindar daripada sebarang masalah.

Dalam perkembangan terkini, perjalanan konsert untuk hari ketiga (30 Okt) hari ini dibatalkan oleh pihak polis.

Notis pembatalan itu diumumkan pihak penganjur melalui Instagram.

Langkah itu diambil atas sebab-sebab keselamatan.

"Keputusan membatalkan acara ini kami terima secara langsung dari pihak yang berwajib. Kami juga berterima kasih kepada para penonton yang sudah menonton di hari pertama dan kedua," kata penganjur yang juga akan mengumumkan soal pengembalian wang tiket pada sebelah petang hari ini.
Sumber : Agensi berita/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan