Puluhan pelarian Rohingya hilang selepas bot karam di Teluk Benggala
Puluhan pelarian Rohingya hilang dan dikhuatiri lemas selepas bot yang mereka naiki karam di Teluk Benggala semasa mereka cuba melarikan diri dari sebuah pulau Bangladesh yang terpencil, menurut para pegawai pada Ahad (15 Ogos).
Pulau Bhasan Char di Teluk Benggala. (Gambar: Reuters)
DHAKA: Puluhan pelarian Rohingya hilang dan dikhuatiri lemas selepas bot yang mereka naiki karam di Teluk Benggala semasa mereka cuba melarikan diri dari sebuah pulau Bangladesh yang terpencil, menurut para pegawai pada Ahad (15 Ogos).
"Kami berdukacita kerana ramai penumpang termasuk wanita dan kanak-kanak dilaporkan lemas dalam kejadian itu. Jumlah sebenar belum lagi diketahui," kata agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Meskipun berdepan kritikan oleh kumpulan-kumpulan hak asasi, Bangladesh memindahkan hampir 20,000 pelarian Rohingya ke Bhasan Char, yang timbul daripada permukaan laut hanya dua dekad lalu dan dianggap berisiko dilanda banjir.
"Bukan mudah untuk tinggal di sini. Tidak ada pekerjaan. Kami tidak boleh berjumpa dengan sanak saudara mereka yang berada di kem-kem di Cox's Bazar," kata Abdul Hamid yang berusia 40 tahun dan merupakan seorang pelarian Rohingya di Bhasan Char kepada Reuters melalui panggilan telefon.
"Itu sebabnya mereka sanggup mengambil risiko untuk meninggalkan tempat ini," katanya lagi.
Pelarian Rohingya, sebuah kumpulan minoriti Muslim yang menyelamatkan diri daripada keganasan di Myanmar, tidak dibenarkan meninggalkan pulau itu yang terletak hanya beberapa jam daripada pelabuhan selatan itu.
Sekitar 40 pelarian Rohingya termasuk wanita dan kanak-kanak, berada di atas bot nelayan itu apabila ia karam kerana cuaca buruk pada awal Sabtu, kata pegawai polis Rafiqul Islam.
Menurutnya, 14 orang berjaya diselamatkan nelayan dan dibawa semula kepulau itu.
Para pengawal pantai, tentera laut dan tentera udara sedang meneruskan operasi menyelamat, kata Encik Islam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.