Puluhan orang awam maut dalam pertempuran di Myanmar
Ketika seluruh dunia menumpukan usaha memerangi wabak COVID-19, puluhan orang awam di Myanmar dilaporkan maut dalam pertempuran di sempadan negeri Rakhine dan Chin baru-baru ini.
Seorang penduduk Myanmar menggunakan tuala sebagai pelitup muka (Gambar: Ye Aung THU /AFP)
GENEVA: Ketika seluruh dunia menumpukan usaha memerangi wabak COVID-19, puluhan orang awam di Myanmar dilaporkan maut dalam pertempuran di sempadan negeri Rakhine dan Chin baru-baru ini.
Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) pada Jumaat (27 Mac) berkata pihaknya bimbang dengan laporan itu dan menggesa pihak-pihak yang bertelagah menghentikan pertempuran di tengah-tengah ancaman wabak COVID-19, lapor agensi berita Anadolu.
Jurucakap UNHCR, Andrej Mahecic, dalam satu sidang akhbar secara maya berkata sekurang-kurangnya 21 orang awam terbunuh dalam pertempuran yang tercetus awal bulan ini.
"Terdapat trend peningkatan kematian dalam kalangan orang awam sejak Februari tahun ini," kata Encik Mahecic.
"Kami menyokong rayuan disuarakan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, yang menggesa pihak yang berperang di seluruh dunia menghentikan pertempuran. Sebaliknya menumpukan perjuangan memerangi ancaman pandemik COVID-19.”
Myanmar setakat ini melaporkan tiga kes COVID-19.
Orang awam di kawasan yang dilanda konflik, terutamanya mereka yang miskin, lebih mudah terdedah dengan ancaman kesihatan awam global ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.