Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Puluhan masjid Indonesia dikatakan sebar fahaman pelampau kepada pekerja awam

Berpuluh-puluh masjid Indonesia yang sering dikunjungi para kakitangan pemerintah didapati menyebarkan radikalisme dan menggesa kekerasan dilakukan terhadap penduduk bukan Muslim.

Anggaran Waktu Membaca:
Puluhan masjid Indonesia dikatakan sebar fahaman pelampau kepada pekerja awam

(Gambar hiasan: Adek Berry/AFP)

Diterbitkan : 19 Nov 2018 09:07PM Dikemas Kini : 20 Nov 2018 12:58AM

JAKARTA: Berpuluh-puluh masjid Indonesia yang sering dikunjungi para kakitangan pemerintah didapati menyebarkan radikalisme dan menggesa kekerasan dilakukan terhadap penduduk bukan Muslim.

Demikian menurut Agensi Perisikan Indonesia hari ini (19 Nov).

Perkara itu terbongkar enam bulan selepas bandar kedua terbesar Indonesia, Surabaya, digemparkan dengan satu siri serangan bom nekad di beberapa gereja yang meragut nyawa lebih 10 orang.

Agensi Perisikan Indonesia menyatakan bahawa ia menjalankan siasatan terhadap sekitar 1,000 masjid di seluruh kepulauan Asia Tenggara sejak Julai. Di satu kawasan di Jakarta sahaja, terdapat sekitar 41 masjid di mana imam-imamnya berkhutbah tentang fahaman pelampau kepada para jemaah - yang kebanyakannya penjawat awam yang bekerja di pejabat-pejabat kementerian berdekatan.

Agensi itu mendapati, sekitar 17 imam menyuarakan sokongan atau bersimpati dengan ISIS dan menggalak para jemaah untuk ikut berperang dengan kumpulan jihad di Syria dan Marawi.

Sebilangan imam juga mengajak para jemaah supaya berikrar setia dengan ISIS - yang mengaku bertanggungjawab atas serangan bom di Surabaya - dan meminggirkan kaum-kaum minoriti.

"Sebahagian besar mereka yang berkunjung ke masjid itu merupakan pekerja awam. Sebab itu ini membimbangkan," kata jurucakap agensi perisikan Wawan Purwanto kepada AFP.

"Merekalah orang-orang yang mengelolakan negara ini."

Agensi itu bagaimanapun tidak mendedahkan perincian lanjut tentang hasil siasatannya. Namun, ia menyatakan bahawa ia menemui tanda-tanda radikalisme yang membimbangkan di tujuh kampus universiti di antara beberapa ratus tempat yang diperiksa.

Siasatan itu dijalankan selepas satu laporan dikeluarkan tahun lalu mendedahkan terdapat imam-imam di beberapa masjid Indonesia yang menyuarakan sokongan terhadap ISIS.

Indonesia sudah memperketat undang-undang antipengganasan bagi memberi kuasa kepada pemerintah untuk memberkas para suspek menyusuli insiden pengeboman yang berlaku di Surabaya.

Encik Purwanto bagaimanapun mendedahkan bahawa agensi akan mengambil pendekatan lebih halus dalam menangani 'imam-imam radikal' dengan cuba meyakinkan mereka supaya menyebarkan ajaran yang lebih cenderung kepada keamanan.

Seorang pakar pengganasan, Sidney Jones, pula menekankan, agensi tersebut perlu melakukan lebih dari sekadar itu.

"Ia tidak mencukupi untuk sekadar mencuba meyakinkan para imam - anda perlu bertemu dengan jawatankuasa pembangunan masjid dan mencari tahu siapa yang bertanggungjawab atas urusan kewangan masjid," katanya.

"Dan anda perlu mengerti mengapa ada sokongan daripada masyarakat tempatan."  

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan