Skip to main content

Dunia

Puluhan koala mati akibat pembalakan di Australia

Berpuluh-puluh koala terpaksa dimatikan dan lagi 80 yang lain sedang dirawat disebabkan oleh kecederaan dan kebuluran selepas tempat tinggal haiwan tersebut musnah akibat aktiviti pembalakan, menyebabkan pemerintah Australia melancarkan siasatan pada Isnin (3 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Puluhan koala mati akibat pembalakan di Australia

Gambar fail seekor beruang koala (Gambar: AFP/Tristan Kennedy)

Diterbitkan : 03 Feb 2020 12:32PM Dikemas Kini : 03 Feb 2020 12:40PM

SYDNEY: Berpuluh-puluh koala terpaksa dimatikan dan lagi 80 yang lain sedang dirawat disebabkan oleh kecederaan dan kebuluran selepas tempat tinggal haiwan tersebut musnah akibat aktiviti pembalakan, menyebabkan pemerintah Australia melancarkan siasatan pada Isnin (3 Feb).

Jabatan Alam Sekitar Victoria menyatakan pengawal selia pemuliharaan wilayah tersebut sedang menyiasat kejadian yang "sangat membimbangkan" di ladang bluegum itu yang terletak berhampiran dengan bandar tepi pantai Portland yang mengakibatkan kematian berpuluh-puluh koala.

"Jika didapati ia disebabkan oleh perbuatan manusia yang disengajakan, kami menjangkakan pengawal selia pemuliharaan akan bertindak pantas terhadap mereka yang bertanggungjawab," menurut jabatan tersebut.

Mereka yang didapati bertanggungjawab atas insiden itu boleh dikenakan denda yang berat di bawah undang-undang perlindungan hidupan liar di Australia.

Menurut jabatan berkenaan, kira-kira 80 koala sudah dipindahkan dari tapak perladangan pada hujung minggu lalu untuk dirawat, sementara yang lain terpaksa dimatikan.

"Penilaian kebajikan hidupan liar akan diteruskan oleh para penjaga dan doktor haiwan bertauliah," menurut kenyataan jabatan tersebut.

Menurut badan Friends of the Earth, ladang itu ditebang pada Disember dalam kejadian yang disifatkannya sebagai "pembunuhan besar-besaran" yang menyebabkan beratus-ratus koala mati atau cedera.

Kumpulan pencinta alam menyatakan skala insiden itu terbongkar apabila penduduk tempatan ternampak bangkai-bangkai koala dilonggokkan baru-baru ini.

Kematian haiwan-haiwan tersebut berlaku menyusuli kebakaran belukar yang memusnahkan sebahagian besar habitat koala di tenggara Australia dan menyebabkan kematian beribu-ribu ekor haiwan itu, yang disenaraikan sebagai "terdedah" kepada kepupusan.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita