Pulau Selatan New Zealand dilanda cuaca sejuk ekstrem; jalan raya, sekolah ditutup
Cuaca ekstrem dari Antartika melanda beberapa kawasan di Pulau Selatan New Zealand pada Selasa (4 Ogos), membawa salji hingga ke paras laut dan suhu sangat rendah sehingga menyebabkan jalan raya ditutup serta menjejas operasi sekolah.
Pemandangan Dunedin di New Zealand. (Gambar fail: iStock)
- Cuaca ekstrem dari Antartika melanda Pulau Selatan New Zealand pada 4 Ogos, menyebabkan salji turun hingga ke paras laut dan suhu sangat rendah.
- Dunedin dan Christchurch terjejas teruk, dengan jalan berair batu, kemalangan kecil, serta pembatalan semua perkhidmatan bas dan feri antara pulau.
- Polis menggesa penduduk mengelakkan perjalanan tidak perlu, manakala pemain ski dan papan salji mengambil peluang meluncur di Baldwin Street.
- MetService menjangka cuaca buruk ini berterusan dua hari lagi dan memberi amaran suhu mungkin paling rendah tahun ini di banyak kawasan.
Salji menyelubungi Dunedin, bandar kedua terbesar di Pulau Selatan New Zealand, menyebabkan polis menggesa para penduduk supaya mengelakkan perjalanan kecuali jika benar-benar perlu berikutan keadaan jalan raya yang berair batu.
"Polis menerima beberapa laporan mengenai kemalangan di seluruh Dunedin pagi tadi, dengan beberapa kenderaan terbabas dari jalan raya. Mujur, tiada kecederaan dilaporkan," menurut Polis New Zealand dalam satu catatan di media sosial.
Para pemain ski dan papan salji pula mengambil kesempatan susuli salji yang turun dengan meluncur menuruni Baldwin Street di Dunedin, yang dikenali sebagai jalan raya kawasan kediaman paling curam di dunia, menurut laporan media tempatan.
Lebih jauh ke utara, salji turut kelihatan di kawasan berpasir di New Brighton Beach, Christchurch.
Salji jarang turun di Dunedin, khususnya hingga ke paras laut, meskipun kawasan berbukit di bandar itu boleh menyaksikan salji ketika berlaku cuaca sejuk yang ekstrem.
Akibatnya, semua khidmat bas di Dunedin dibatalkan, menurut pihak berkuasa.
Khidmat feri antara Pulau Utara dengan Pulau Selatan New Zealand turut digantung akibat angin kencang dan ombak besar.
Khidmat kaji cuaca New Zealand, MetService, menyatakan cuaca ekstrem itu dijangka berterusan sepanjang dua hari akan datang.
Ia dijangka membawa salji atau hujan bercampur salji hingga hampir ke paras laut di seluruh bahagian timur Pulau Selatan.
MetService turut memberi amaran pagi Khamis (6 Ogos) mungkin mencatatkan suhu paling rendah tahun ini di banyak kawasan di New Zealand.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.