Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pulau Pinang negeri terbaru dilanda banjir di M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Pulau Pinang menjadi negeri terbaru dilanda banjir di Malaysia dengan dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka. Ia melibatkan daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Selatan (SPS), berikutan hujan lebat lebih dua jam di beberapa kawasan bermula kira-kira 3.30 petang pada Jumaat (3 Feb).

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri Phee Boon Poh berkata setakat pukul 2.00 pagi pada Sabtu (4 Feb), sebuah PPS dibuka di Dewan Komuniti Kubang Menerong, SPU, yang menempatkan 38 orang daripada sembilan keluarga manakala di daerah SPS, 21 orang daripada lapan keluarga dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bakap Indah.   

“Hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di Pulau Pinang sejak 3.30 petang hingga 6.30 petang semalam menyebabkan puluhan rumah terutama di daerah SPU dan SPS dilanda banjir. Keadaan ini diburukkan lagi dengan air laut pasang besar."

“Kebanyakan rumah dinaiki air hingga paras 0.6 meter, namun beberapa kawasan kembali surut malam tadi,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di Kedah dan Sarawak menunjukkan peningkatan manakala bilangan mangsa di Johor dan Sabah mencatatkan penurunan Sabtu pagi berbanding Jumaat malam.

Di Kedah, pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu Abdul Rahim Khairuddin berkata jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ekoran banjir kilat di Relau, Bandar Baharu, meningkat kepada 35 mangsa daripada 11 keluarga pagi ini berbanding 14 mangsa daripada tujuh keluarga semalam. Kesemua mereka ditempatkan di satu PPS iaitu SK Relau yang dibuka sejak 7.00 malam Jumaat.

"Hujan lebat selama dua jam petang semalam menyebabkan tiga kampung terjejas iaitu Kampung Kilang Batu, Kampung 300 Kaki dan Kampung Tengah. Keadaan cuaca hari ini adalah baik dan banjir mulai surut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Di Sarawak, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir di kawasan Serian meningkat kepada 193 orang pagi ini berbanding 180 orang malam semalam, yang ditempatkan di PPS SK St Peter serta Dewan Kampung Mundai.

Di Johor, JPBN memaklumkan jumlah mangsa di PPS terus jatuh kepada 821 orang setakat 8.00 pagi Sabtu berbanding 846 orang pada 8.00 malam Jumaat yang ditempatkan di enam PPS iaitu satu di Segamat dan lima di Batu Pahat.

Jumlah mangsa di daerah Batu Pahat yang mengalami 'banjir termenung' adalah seramai 795 orang daripada 225 keluarga, manakala di Segamat 26 orang daripada sembilan keluarga.

Di Sabah, Sekretariat JPBN Sabah dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di tujuh PPS berkurangan kepada 298 orang daripada 85 keluarga pagi ini, berbanding 452 orang daripada 137 keluarga Jumaat malam.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan