Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

"Pulau Pinang milik Kedah": Ahmad Zahid dakwa kenyataan Menteri Besar Kedah satu hasutan

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Kenyataan Pulau Pinang milik Kedah yang dibuat Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Noor, adalah satu tindakan menghasut, kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi.

Encik Ahmad Zahid berkata kenyataan itu juga menunjukkan, Menteri Besar Kedah itu daif dari segi ilmu sejarah, malah tidak memahami Perlembagaan.

“Hanya orang yang tidak buta sejarah sahaja tidak membangkitkan perkara ini. 

“Saya fikir ini bukan sekadar menghasut, tetapi juga daif dari segi ilmu sejarah,” katanya kepada pemberita selepas menutup Seminar Fikrah Siddiq Fadzil - Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia, di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur pada Rabu (31 Mei). 

Beliau mengulas kenyataan Encik Muhammad Sanusi pada Isnin (29 Mei), yang menegaskan Pulau Pinang adalah milik Kedah kerana kedua-dua negeri itu tidak mempunyai sempadan.

Mengulas lanjut, Encik Ahmad Zahid berkata, sebagai seorang pemimpin negeri, Encik Muhammad Sanusi seharusnya faham soal Perlembagaan dan perundangan di sebalik perjanjian antara kedua-dua negeri itu.

Beliau berkata terdapat perkara yang sudah ditandatangani dan ia termaktub dalam perjanjian pemerintahan kedua-dua negeri ketika berada di era penjajahan. 

“Biarpun kita menolak (perjanjian) penjajahan itu, namun perjanjian itu diterjemahkan dalam Suruhanjaya Cobbold bagi pembentukan sebuah (Persekutuan) Tanah Melayu,” katanya.

Encik Ahmad Zahid berharap, Encik Muhammad Sanusi turut memahami serta mengetahui mengenai Negeri Melayu Bersekutu, Negeri-Negeri Selat dan Negeri Melayu Tidak Bersekutu, dalam membuat kenyataan tersebut.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan