Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pulau Pinang lakukan pembenihan awan mulai 29 Apr bagi isi semula dua empangan

Anggaran Waktu Membaca:

GEORGE TOWN: Operasi pembenihan awan bagi menggalak hujan lebat di Pulau Pinang akan dijalankan bermula 29 April ini, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) K. Pathmanathan.

Beliau berkata Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengesyorkan jangka masa dari 29 April hingga 7 Mei ini bagi gelombang pertama operasi di dua empangan di negeri berkenaan. 

“Matlamat utama ialah untuk menggalak hujan lebat di kawasan tadahan air Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang. Hujan lebat diperlukan untuk mengisi semula kedua-dua empangan dengan air mentah sebanyak mungkin,” katanya dalam kenyataan pada Selasa (25 Apr). 

Menurut Encik Pathmanathan, kapasiti Empangan Air Itam sebanyak 82.5 peratus pada Januari lepas kini mencatat 44.8 peratus manakala Empangan Teluk Bahang sebanyak 64 peratus pada tempoh sama, kini adalah 48.6 peratus.  

Beliau berkata kapasiti kedua-dua empangan itu menyusut 37.7 peratus dan 15.4 peratus sejak 1 Jan lepas berikutan jumlah hujan yang rendah (berkaitan dengan perubahan iklim) di kawasan tadahan air dan permintaan air yang tinggi pada tahun ini.

“Paras simpanan Empangan Air Itam telah berkurangan dengan peratusan yang lebih tinggi sejak 1 Jan lepas kerana kapasiti efektif maksimumnya ialah 2,160 juta liter (ML) berbanding kapasiti efektif maksimum Empangan Teluk Bahang sebanyak 19,240 ML,” katanya.

Encik Pathmanathan berkata untuk hujan berlaku dan air hujan mengalir ke empangan, proses itu akan mengambil masa beberapa hari selepas misi pembenihan awan dijalankan.

Beliau berkata kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM400,000 (S$119,760) untuk membiayai proses pembenihan awan berkenaan.

“Bergantung kepada keputusan dan keadaan, PBAPP juga boleh memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan Pulau Pinang untuk membiayai gelombang kedua operasi pembenihan awan tambahan bagi menambah rizab empangan.

“Pada 2022, kira-kira 61.5 peratus daripada jumlah penggunaan air Pulau Pinang iaitu sebanyak 868 juta liter sehari (JLH) adalah penggunaan air domestik. Pada Februari tahun ini, jumlah penggunaan air di Pulau Pinang meningkat kepada purata 944 JLH,” katanya.

Beliau sehubungan itu menggesa pengguna di negeri itu supaya mengurangkan penggunaan air harian dengan mengamalkan langkah penjimatan air.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan