Pulau peranginan Indonesia ibarat padang jarak padang terkukur dek COVID-19
Biasanya pada setiap malam, Chef Ilhani menghidangkan masakan Jepun kepada para pelancong. Namun kini, beliau hanya membawa pulang AS$3 (S$4) sehari dengan menjual kudapan goreng di jalan-jalan raya hampir lengang di Gili Trawangan, yang dahulunya cukup hiruk-pikuk.
(Gambar: AFP)
GILI TRAWANGAN: Biasanya pada setiap malam, Chef Ilhani menghidangkan masakan Jepun kepada para pelancong. Namun kini, beliau hanya membawa pulang AS$3 (S$4) sehari dengan menjual kudapan goreng di jalan-jalan raya hampir lengang di Gili Trawangan, yang dahulunya cukup hiruk-pikuk.
Pandemik COVID-19 mengakibatkan hampir semua pusat peranginan dan restoran gulung tikar di seluruh kepulauan Gili Indonesia, yang terkenal dengan laut biru, pantai pasir halus dan hidupan marin yang pelbagai.
Terletak berhampiran Bali, wisata dan ekonomi tempatan sebelum ini berkembang pesat, dengan sekitar 1,500 pelancong asing mengunjungi Trawangan setiap hari.
Bagaimanapun apabila pihak berkuasa menguatkuasakan perintah berkurung COVID-19 di seluruh negara untuk pertama kali pada Mac 2020 dan kemudian menutup sempadan kepada pelawat antarabangsa, restoran Ilhani tidak mampu lagi terus menanggung kerugian perniagaan.
Hampir dua tahun berlalu, Ilhani berkata beliau masih terkapai-kapai untuk menyara isteri serta empat anaknya.
"Kehidupan amat perit sekarang ini. Saya menjual snek goreng kerana ia sesuatu yang boleh dimampui penduduk tempatan," katanya kepada AFP.
"Dahulu, apa-apa yang kami jual, akan ada pelancong yang membelinya tetapi sekarang seperti anda boleh lihat, pulau ini sunyi sepi."
Tiga pulau Gili - Trawangan, Meno dan Air - sudah lama bergantung kepada pelancong asing.
Terdapat sekitar 800 hotel dengan 7,000 bilik tetapi hanya antara 20 dengan 30 tempat penginapan yang masih dibuka, menurut Lalu Kusnawan, Pengerusi Persatuan Hotel Gili, yang mengendalikan sebuah pusat peranginan di Trawangan.
Kedai, bar, kafe dan restoran semuanya lengang - ada yang dilelongkan, manakala yang lain diabaikan sama sekali. Meja serta kerusi yang sekian lama tidak digunakan mengumpul habuk dan diselimuti sarang lelabah.
Kakitangan yang bekerja di sana dipaksa untuk mencari jalan lain bagi menyara hidup Ada di antara mereka akhirnya memancing demi memberi sesuap makan kepada keluarga masing-masing.
Pandemik COVID-19 akan menyebabkan sektor pelancongan sejagat kehilangan pendapatan sebanyak AS$2.0 trilion (S$2.7 trilion) pada 2021 - kerugian sama seperti pada 2020, menurut amaran badan pelancongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu.
Ketibaan pelancong antarabangsa untuk tahun ini akan kekal 70 hingga 75 peratus di bawah jumlah 1.5 juta ketibaan yang dicatatkan pada 2019 sebelum pandemik mencengkam. Demikian menurut Pertubuhan Pelancongan Sedunia yang menambah bahawa pemulihan sektor itu akan menjadi "rapuh" dan "lembab".
AKAN GULUNG TIKAR
Ilhani bimbang penderitaan akan berlarutan kerana pemerintah Indonesia kini merancang untuk mengenakan sekatan COVID-19 yang lebih ketat sebagai langkah bersiap siaga untuk berdepan dengan gelombang jangkitan baru.
Di pelabuhan Gili Trawangan, kebanyakan bot - digunakan untuk membawa pelancong dari satu pulau ke pulau yang lain atau untuk pergi ke tempat menyelam - sudah berlabuh berbulan-bulan lamanya. Tidak jauh dari sana, jambatan pontun dibiarkan reput.
Sempadan secara tidak rasmi dibuka semula pada Oktober tetapi penerbangan antarabangsa langsung ke Bali belum lagi disambung semula kerana pelancong perlu menjalani kuarantin serta mematuhi peraturan visa yang ketat, sekali gus membataskan permintaan.
Sedang kebimbangan kian meningkat berhubung varian Omicron COVID-19, Indonesia melanjutkan syarat kuarantin wajib kepada 10 hari, mematahkan harapan bahawa pemulihan dalam sektor pelancongan bakal menjadi kenyataan.
Kusnawan khuatir beliau dan rakan-rakannya di pulau itu tidak mampu bertahan lanjut.
"Kami bukan sahaja menderita malah kami tidak lagi mempunyai daya untuk menderita...Kami sudah berada dalam keadaan teruk dari sebelum Omicron lagi," ujarnya.
Abdian Saputra, yang mengendali sebuah khidmat bot dari Bali ke pulau-pulau itu, berkata beliau terpaksa menjual aset dan memberhentikan separuh kakitangannya demi memastikan perniagaannya bertahan, sedang jumlah perjalanan yang diperlukan semakin berkurangan sejak pandemik melanda.
"Saya jarang melihat penumpang baru sejak pandemik. Jika kami berhenti, perniagaan seperti hotel juga akan lingkup. Kita saling membantu satu sama lain demi untuk bertahan," katanya.
"Tapi kalau keadaan berterusan begini, perniagaan saya juga akan gulung tikar pada Januari atau Februari tahun depan," katanya.
Namun bagi pelawat asing yang sudah tiba di Indonesia sebelum penutupan sempadan, atau yang memang menetap di sana, keadaan pandemik membolehkan mereka meneroka pulau peranginan itu tanpa kesesakan biasa semasa musim pelancongan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.