Pulau Galang di Riau, Indonesia akan dijadikan tempat rawat 2,000 penduduk Gaza
Sebuah pulau yang tidak dihuni iaitu Pulau Galang di Kepulauan Riau akan dijadikan sebagai tapak untuk merawat 2,000 penduduk Gaza yang cedera, menurut ketua jurucakap Presiden Indonesia, Hasan Nasbi pada Khamis (7 Ogos).
Rakyat Palestin membawa bungkusan bantuan kemanusiaan berhampiran pusat agihan Gaza Humanitarian Foundation yang dikendalikan oleh pertubuhan disokong Amerika Syarikat, di Netzarim, tengah Carikan Gaza, pada 4 Ogos 2025. (Gambar: AP/Abdel Kareem Hana)
Beliau menambah, Presiden Prabowo Subianto sudah meminta Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar Negeri supaya menyiapkan sistem, tata cara, dan proses pelaksanaan rawatan bagi 2,000 penduduk Gaza itu.
Encik Hasan bagaimanapun menekankan ia bukan gerakan pemindahan.
Sebaliknya, ia adalah misi kemanusiaan untuk merawat penduduk Gaza yang cedera dan para pesakit akan dipulangkan ke Gaza selepas mereka sembuh.
Pulau Galang sebelum ini pernah digunakan sebagai kemudahan rawatan dan pengasingan semasa pandemik COVID-19 pada 2020.
Sementara itu di Gaza, sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dengan puluhan lagi cedera, selepas sebuah trak bantuan terbalik menimpa orang ramai.
Kejadian itu dilaporkan berlaku berhampiran kem pelarian Nuseirat ketika ratusan orang awam sedang menunggu bekalan bantuan.
Tidak jelas apa sebenarnya yang menyebabkan trak itu terbalik.
Terdapat kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kebuluran di Gaza dengan peningkatan kematian kanak-kanak akibat kekurangan zat makanan.
Gaza juga dilanda kehausan yang tidak dapat diatasi segera.
Saluran paip yang rosak dan tercemar menjadikan air tidak selamat untuk diminum.
PBB berulang kali mengkritik sistem pengagihan bantuan kendalian Gaza Humanitarian Foundation (GHF), yang disokong Amerika dan Israel.
Ia menyeru agar GHF dibubarkan kerana operasinya tidak selamat.
Sekurang-kurangnya 1,400 penduduk Palestin terbunuh sejak Mei lalu, kebanyakannya berhampiran tapak pengagihan yang dikendalikan GHF.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.