Pulau di Korea Selatan jadi serba ungu untuk tarik pelancong
Korea Selatan tidak hanya terkenal kerana penyanyi K-Popnya. Ada banyak tempat menarik dan unik juga untuk dikunjungi.
SHINAN: Korea Selatan tidak hanya terkenal kerana penyanyi K-Popnya. Ada banyak tempat menarik dan unik juga untuk dikunjungi.
Dengan Perdana Menteri Lee Hsien Loong semalam (14 Mac) melahirkan harapannya bagi sempadan Singapura dibuka semula menjelang hujung tahun ini, anda mungkin boleh menimbangkan Pulau Ungu sebagai salah satu destinasi untuk dikunjungi.
Seperti namanya, pulau di barat daya Korea Selatan ini menjadi syurga bagi pencinta warga ungu.
Dilihamkan daripada bunga khas dan ladang-ladang tanaman bunga lavender yang luas, penduduk Pulau Banwol dan Pulau Bakji memilih untuk menjadi Pulau Ungu.
Dari rumah mereka, jalan raya hingga ke jambatan yang menghubungkan kedua-dua pulau - semuanya dicat ungu.
Pihak berkuasa juga merancang menanam 40,000 tanaman lavender, ribuan pohon, serta tanaman ungu lainnya.
"Orang tua seperti kami hidup terpencil di sini kerana anak-anak muda meninggalkan bandar ini," kata Shin Deok-im, penduduk berusia 79 tahun yang sudah tinggal di pulau Bakji selama lebih 60 tahun.
"Kami gembira bila melihat orang muda bersama anak-anak mereka berjalan-jalan di bandar kami. Mereka semua seperti cucu saya sendiri."
Pulau kecil itu didiami lebih kurang 100 orang dan dipilih bagi projek pelancongan yang disokong pemerintah.
Sejak 2015, daerah Shinan telah melabur 4.8 bilion won (S$5.7 juta) untuk mengubah kedua-dua pulau menjadi pulau serba ungu termasuk mengecat 28,000 meter persegi bumbung bangunan menjadi ungu.
Kempen itu telah menarik lebih 487,000 pengunjung sejak ia dirasmikan pada 2019, menurut pejabat daerah itu.
Restoran juga dicat ungu, dan makanan yang disajikan termasuk nasi ungu yang disajikan atas pinggan ungu.
Bahkan, ada penduduk yang begitu bersemangat menyokong projek tersebut.
"Setiap hari saya pakai ungu dari hujung rambut ke hujung kaki termasuk pakaian dalam dan sepatu, dan ia membuat saya begitu gembira," kata Jung Soon-shim yang berusia 88 tahun, sambil duduk di gazebo ungu.
Pengunjung boleh berjalan-jalan di jambatan ungu yang mengubungkan dua pulau tersebut ke pulau besar berhampiran sambil duduk di bangku yang dihias tulisan "I purple you", slogan popular anggota BTS Kim Tae-hyung, yang lebih dikenali sebagai V. Maksudnya "Saya percaya, menyayangi dan menyokong anda".
Bahkan mereka yang berpakaian ungu dibenarkan masuk secara percuma ke pulau-pulau itu!
"Kami tidak dapat ke luar negara disebabkan COVID-19. Sebagai ganti kami mengunjungi pulau ungu ini," kata Shin Eun-me.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.