Pulangkan cek S$3.4 juta, rezeki pekerja pembersihan jujur dinaikkan pangkat
Memiliki sifat jujur dan amanah dalam diri di dalam apa juga pekerjaan yang dilakukan sangatlah terpuji dan mulia.
Halimah, 29 tahun yang bekerja di Lapangan Terbang Bandara Soekarno-Hatta, Jakarta baru-baru ini menjadi tular atas kejujurannya memulangkan dokumen penting dan berharga. (Gambar: Mingguan Wanita)
JAKARTA: Memiliki sifat jujur dan amanah dalam diri di dalam apa juga pekerjaan yang dilakukan sangatlah terpuji dan mulia.
Siapa sangka, dengan bersikap jujur dan ikhlas, dikurniakan rezeki yang tidak dijangka malah dinaikkan pangkat lagi.
Mingguan Wanita melaporkan seorang pekerja pembersihan bernama Halimah, 29 tahun yang bekerja di Lapangan Terbang Bandara Soekarno-Hatta, Jakarta baru-baru ini menjadi tular atas kejujurannya memulangkan dokumen penting dan berharga.
Kisah beliau tular selepas menemui dompet yang berisi cek bernilai 35.5 bilion rupiah (S$3.4 juta) ketika menjalankan tugas pembersihan.
Lapor Jakarta Daily, ibu kepada dua cahaya mata itu menemui dompet berwarna coklat yang didakwa milik seorang penumpang di Balai Pelepasan Terminal 2E.
Ketika melihat angka tertera, beliau mengaku terkejut namun tidak terlintas untuk mengambilnya.
“Cek itu, tertulis Rp 35.5 bilion. Saya terkejut kerana nilainya sangat besar hingga perlu melihatnya berkali-kali,” katanya.
Pekerja pembersihan itu kemudian melaporkan penemuan tersebut kepada pegawai Keselamatan Penerbangan yang bertugas di Terminal 2.
“Tidak terfikir nak mengambilnya. Kita tanamkan rasa jujur, sekecil mana pun barang yang kita jumpa mesti dilaporkan.
“Sebelum ini saya sering jumpa pelbagai barang, tapi yang ini viral,” kata Cik Halimah.
Selain cek bernilai Rp 35.5 bilion, di dalam beg berkenaan terdapat empat buku bank dan satu pasport, lapor Jakarta Daily.
Kejujuran yang dipamerkan Cik Halimah itu mendapat penghargaan daripada majikannya, PT Angkasa Pura Solusi.
Pengurus Besar BSH Wilayah 1 Angkasa Pura Solusi Toyib Fanani selaku ketua memberi ganjaran berupa kenaikan pangkat satu peringkat kepada Cik Halimah sebagai penyelia atas kejujuran beliau dalam menjalankan tugas.
Beliau menghargai kejujuran Cik Halimah ketika bekerja di lapangan terbang itu dengan segera melaporkan penemuan dompet penumpang yang tertinggal.
“Saya terharu ketika pertama kali menerima berita ini. Kita bagi kenaikan luar biasa untuk Halimah, satu level atas dia iaitu menjadi penyelia,” katanya pada Sabtu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.