Skip to main content

Dunia

PRU15: Wakil rakyat baru perlu mahir isu ekonomi rakyat M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
PRU15: Wakil rakyat baru perlu mahir isu ekonomi rakyat M'sia

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 24 Oct 2022 06:12PM Dikemas Kini : 24 Oct 2022 06:13PM
KUALA LUMPUR: Krisis ekonomi dan kesannya kepada rakyat Malaysia dilihat menjadi cabaran besar buat bakal pemimpin termasuk wakil rakyat di kawasan masing-masing yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Prof Dr Noor Azlan Ghazali, berkata sehubungan itu, penting bagi wakil rakyat baru nanti untuk mengetahui berhubung profil pendapatan rakyat di kawasan yang akan mereka wakili kelak, lapor BH Online.

Beliau berkata, selain strategi peringkat kebangsaan yang menjadi tanggungjawab bagi kerajaan baru dibentuk, setiap wakil rakyat juga seharusnya mempunyai wawasan dan sasaran lebih bersifat setempat.

"Wawasan dan sasaran itu perlu bersesuaian dengan ciri pekerjaan dan aktiviti ekonomi di kawasan masing-masing antaranya membabitkan petani, pekerja perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), nelayan, tentera, peruncit dan pesara.

"Ini kerana kos sara hidup yang semakin meningkat sering menjadi isu dalam kehidupan rakyat Malaysia dan usaha meningkatkan pendapatan pastinya menjadi satu daripada sasaran.

"Justeru semua yang berhasrat menjadi wakil kepada rakyat mesti mengetahui profil pendapatan rakyat di kawasan mereka wakili, adakah rakyat di kawasan anda miskin? B40? M40? T20? Selesa atau bagaimana?

"Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mempunyai data yang lebih terperinci mengikut kawasan masing-masing dan dengan data yang lebih khusus serta terkini, perancangan yang lebih rapi dapat dibuat," katanya di Facebook, di Kuala Lumpur, lapor BH Online.

Berdasarkan Kajian Pendapatan Isirumah 2019 Malaysia, kira-kira 5.6 peratus rakyat Malaysia adalah miskin di mana garis kemiskinan merujuk kepada isi rumah yang berpendapatan RM2,208 (S$668.39) ke bawah dan garis miskin tegar ialah RM1,169 (S$353.87).

Namun Noor Azlan berkata, impak krisis ekonomi akibat pandemik COVID-19 menurunkan garisan pendapatan itu di mana anggaran pendapatan terkini menunjukkan pendapatan bulanan isi rumah Malaysia jatuh sebanyak 11.3 peratus.

Katanya, sembilan negeri pula mencatatkan kejatuhan yang lebih besar daripada purata negara, lapor BH Online.

"Berdasarkan ukuran ekonomi, sebuah isi rumah dianggap rentan, mudah terjejas, berisiko untuk terjejas kualiti kehidupan mereka sekiranya pendapatan mereka kurang dari 2.5 kali garis kemiskinan.

"Ia bermaksud hampir 50 peratus rakyat Malaysia adalah dalam kategori rentan, berpendapatan kurang dari RM5,520 (S$1,671.03) (pendapatan penengah ialah RM5,873 (S$1,777.89)).

"Secara lebih khusus, lebih dari 50 peratus penduduk di sembilan buah negeri berada dalam kategori rentan dan ini cabaran ekonomi yang mesti ditangani oleh kerajaan yang bakal dipilih dalam PRU15 Malaysia nanti," katanya.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita