Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PRU15 wajar diadakan dalam masa terdekat, kata Timbalan Presiden UMNO

Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan melihat kewajaran Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat agar mandat baru dapat diberikan semula kepada rakyat.

Anggaran Waktu Membaca:
PRU15 wajar diadakan dalam masa terdekat, kata Timbalan Presiden UMNO

Gambar: BERNAMA

Diterbitkan : 22 Nov 2021 07:54AM Dikemas Kini : 22 Nov 2021 07:57AM

SEREMBAN: Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan melihat kewajaran Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat agar mandat baru dapat diberikan semula kepada rakyat.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut berpendapat jika PRU15 diadakan dalam tempoh masa berkenaan, ia memberi peluang terbaik kepada BN berdasarkan sentimen rakyat terhadap BN ketika ini.

Katanya lagi, perkara itu turut disuarakan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob selepas BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

"Saya bercakap dengan Perdana Menteri semalam yang mana kita perlu pertimbangkan untuk segerakan PRU15. Suka atau tidak kita tunggu sehingga bulan Julai nanti sebab perjanjian (memorandum persefahaman kerajaan dan pembangkang) hingga bulan Julai tahun depan.

"Ini pun tidak tahu kerana banyak yang kalah teruk di Melaka...tidak tahulah pula kalau mereka menarik diri sebab dalam politik apa jua boleh berlaku. Dinamiknya berubah setiap hari dan tidak statik, justeru terpulang kepada BN dan UMNO untuk membuat ulang kaji," katanya.

Memorandum Persefahaman antara kerajaan dan pembangkang itu berkuat kuasa daripada tarikh ia ditandatangani, iaitu 13 Sep lalu dan terpakai sehingga pembubaran Parlimen Malaysia ke-14, juga pada masa sama kerajaan bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai 2022. 

Sementara itu, Encik Mohamad berkata kemenangan BN di PRN Melaka merupakan satu keputusan daripada rakyat negeri Melaka yang jelas memberikan isyarat mereka ingin sebuah kerajaan yang stabil serta membawa kesejahteraan, kemakmuran kepada negeri dan negara.

"Itu isyarat yang boleh saya baca. Saya bersyukur atas kemenangan tersebut tetapi ini satu amanah yang besar diberikan kepada BN agar kerajaan negeri Melaka yang baharu mengurus tadbir dengan baik.

"Saya harap ini juga merupakan sentimen di seluruh negara. Saya ucapkan terima kasih kepada semua rakyat Melaka, pengundi-pengundi Melaka kerana memberi kepercayaan kepada kami," katanya.

BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Sumber : Bernama
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan