PRU15: UMNO tanding 17 kerusi Parlimen di Johor
(Gambar: BERNAMA)
JOHOR BAHRU: Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Se-Malaysia (MIC) Johor masing-masing akan bertanding lapan dan satu kerusi parlimen di negeri itu semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang bakal menjelang, iaitu jumlah sama yang ditandingi kedua-duanya dalam PRU14.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Hasni Mohammad berkata kerusi Parlimen Simpang Renggam, yang ditinggalkan parti Gerakan, akan ditandingi oleh UMNO. Ini sekali gus menjadikan jumlah kerusi yang bakal ditandingi UMNO Johor dalam PRU15 sebanyak 17 berbanding 16 sewaktu PRU lalu.
Pengarah Pilihan Raya BN Johor itu juga berkata BN negeri tersebut tidak akan melakukan sebarang pertukaran kerusi parlimen antara parti komponennya.
“Pembahagian kerusi tidak berbangkit di Johor, maknanya MCA, MIC kekal dengan jumlah kerusi seperti dalam PRU14 iaitu lapan kerusi MCA dan satu kerusi MIC,” kata Encik Hasni kepada wartawan selepas menghadiri Majlis Penutup Bengkel Penerangan Puteri UMNO Johor di Savannah Hill Resort,di Ulu Tiram, pada Sabtu (29 Okt).
Encik Hasni, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, berkata demikian ketika mengulas sekiranya akan berlaku pertukaran kerusi BN Johor menyusuli desas-desus mengenai pertukaran kerusi antara parti-parti komponen.
Ketika diminta mengulas mengenai jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor yang akan bertanding di kerusi parlimen, ADUN Benut itu mengesahkan hanya dirinya akan bertanding.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 5 November, diikuti dengan hari pengundian awal pada 15 November dan hari mengundi pada 19 November.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.